'Hanya jurufoto, juruvideo dibenarkan masuk'

Iklan
Keadaan di lokasi tanah runtuh di Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali pada Sabtu.

HULU SELANGOR - Petugas media dibenarkan masuk ke lokasi tanah runtuh di Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali bagi mendapatkan gambaran sebenar keadaan di lokasi kejadian.

Permohonan itu diluluskan hanya beberapa minit selepas perkara itu disuarakan oleh pengamal media kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang berada di lokasi kejadian pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, kebenaran tersebut yang diumumkan oleh pegawai penerangan bertugas di lokasi kejadian sekitar jam 6.30 petang itu hanya mengehadkan kepada jurufoto dan juruvideo.

"Hanya dua orang wakil media dibenarkan masuk, hari ini kita benarkan RTM dan Bernama, esok (Ahad) media-media lain dibenarkan masuk ikut giliran.

Iklan

"Hanya jurufoto dan juruvideo dibenarkan masuk untuk mengambil gambar, wartawan adalah tidak dibenarkan bagi tujuan keselamatan," katanya.

Masuk hari kedua operasi operasi mencari dan menyelamat (SAR), petugas media yang membuat liputan hanya dibenarkan berada di luar lokasi kejadian dan tidak dibenarkan melepasi pita kuning yang dipasang.

Iklan

Ia telah menimbulkan kesukaran buat petugas media untuk mendapatkan gambaran sebenar SAR.

Dalam pada itu, Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis pada sidang akhbar jam 11 pagi Sabtu memberitahu jumlah petugas SAR dihadkan atas faktor keselamatan susulan bimbang jika berlakunya gelongsoran tanah.

Sementara itu, Acryl Sani berkata, biarpun memahami terdapat beberapa pihak ingin menyalurkan bantuan namun kebenaran tidak dapat dikeluarkan.

Katanya, lokasi itu tidak tidak sesuai dimasuki sukarelawan dan operasi dihadkan hanya kepada bomba dan agensi berkaitan.

"Kawasan yang terlibat ini luas, jadi sekiranya kita memberikan kebenaran dibimbangi penugasan tidak dapat diselaraskan dan menjadi kucar-kacir," katanya.

Pada Sabtu, kawalan ketat telah menyebabkan rasa tidak puas hati beberapa pihak yang terkilan kerana tidak dapat turut serta dalam operasi menyelamat selain ada yang mengaitkan larangan tersebut berunsur politik.