SUNGAI BULOH - Jenazah Allahyarhamah Nurul Azwani Kamarulzaman, mangsa korban insiden tanah runtuh di Jalan Genting Highland-Batang Kali selesai menjalani sesi pengecaman dan bedah siasat di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, di sini, pada petang Sabtu.
Van jenazah yang membawanya dilihat meninggalkan hospital itu pada jam 7.45 petang.
Turut kelihatan hadir ialah beberapa ahli keluarga terdekat termasuk ibu mangsa, Siti Esah Hassan, 53.
Esah ketika ditemui pemberita berkata, kali terakhir dia bertemu Nurul Azwani adalah pada Rabu lalu.
Nurul Azwani, 31, merupakan salah seorang daripada 24 mangsa dikenal pasti maut dalam insiden tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi Jumaat.
Difahamkan Allahyarham yang bekerja di kantin Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong mengikut rombongan perkhemahan dilakukan oleh kakitangan sekolah itu sejak Rabu lalu.
Setakat jam 8 malam Sabtu, seramai 24 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian runtuhan tanah di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, manakala 10 orang lagi masih dilaporkan hilang.
Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi Jumaat.