Berita gembira buat Terengganu bila ECRL diteruskan: Ahmad Samsuri

Iklan
Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA TERENGGANU - Keputusan meneruskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah berita gembira buat rakyat Terengganu, kata Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menerusi laman sosial Facebook rasmi miliknya, Ahmad Samsuri berkata, pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai perkara itu bukan sahaja disambut baik, malah beliau (Ahmad Samsuri) yakin ia mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi impak positif kepada sosial penduduk.

Iklan
Iklan

Katanya, dengan perkembangan itu juga, bandar-bandar utama dan sekitar akan tumbuh pesat seterusnya dapat meyakinkan pelabur dengan penyediaan pembangunan infrastruktur yang lengkap.

"Saya percaya jika komitmen begini diteruskan, rakyat akan mendapat manfaat daripada projek pembangunan yang dirancang,” katanya.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: ECRL: CCCC akan pulangkan bayaran pendahuluan RM3.1 bilion

Jarak landasan ECRL dikurangkan 40km: Tun Daim

Projek ECRL yang mencetuskan perbalahan mengenai kos pembinaannya sebelum ini akan disambung semula pada kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Iklan

ECRL akan meliputi jajaran baharu meliputi dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, keputusan terbaru itu pasti akan memberi kesan positif secara langsung kepada sektor pelancongan Terengganu.

Beliau berkata apabila ECRL siap kelak, jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini dijangka meningkat melebihi lima peratus kerana mereka mempunyai alternatif selain menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan sistem penerbangan yang menjadi nadi pengangkutan utama pada masa ini.

"ECRL dijangka memendekkan masa dan kos perjalanan pelancong dari Pantai Barat ke Pantai Timur lebih daripada separuh," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut beliau, jumlah kedatangan pelancong yang direkodkan pada tahun lalu ialah sekitar 4.8 juta orang.

ADUN Pengkalan Berangan Sulaiman Sulong pula berkata, oleh kerana kawasannya menjadi salah satu stesen laluan ECRL, ia akan memberi peluang kepada peniaga untuk membuka kios kecil bagi menjual pelbagai barangan di stesen-stesen yang akan dibuka kelak.

"Setakat ini, kawasan ini belum ada penempatan yang tersusun, jadi masyarakat akan ambil kesempatan berniaga dan peluang meningkatkan ekonomi akan dapat dinikmati oleh masyarakat kampung,” katanya.

Sementara itu, Nurul Syazwani Mohd Noor, seorang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi berkata, sebagai perantau, pembinaan ECRL dilihat sebagai alternatif baharu untuk pulang ke kampung terutama apabila berlaku kecemasan.

”Saya juga yakin industri yang dijalankan oleh usahawan tempatan di pantai timur akan menjadi semakin rancak. Produk-produk asli Terengganu seperti batik eksklusif dan songket akan menjadi tumpuan dan sudah pasti berlaku peningkatan pelancong.

"Mereka mempunyai pilihan sama ada menggunakan perkhidmatan ECRL, bas ekspres, kapal terbang mahupun memandu sendiri menggunakan lebuh raya. Meskipun pembinaannya menelan belanja yang besar, pelaburan ini saya fikir berbaloi,” katanya. - Bernama