JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang memperagakan kayuhan cemerlang untuk meraih pingat emas acara pecut pada edisi ke-125 Austral Wheelrace di Melbourne, Australia, pada Sabtu.
Pada perlumbaan di Pusat Sukan Antarabangsa Darebin, Azizulhasni, yang telah menjalani pembedahan jantung, April lalu, menewaskan pelumba Kelab Berbasikal Blackburn, Sam Gallagher, di final.
Iklan
Iklan
Dalam catatan Instagramnya, beliau tidak menjangkakan persembahan yang baik dalam acara tersebut.
"Saya sangat terkejut kerana melakukan masa yang baik pada pusingan kelayakan. Saya berasa baik pada pusingan akhir, melakukan kayuhan biasa sahaja dan menang dengan selesa," katanya.
Pelumba bergelar 'The Pocket Rocketman' masih mempunyai peluang menambah kilauan emas apabila bakal bersaing dalam acara kegemarannya, keirin, perlumbaan 1 kelas UCI.