BATANG KALI - Biarpun dalam keadaan gelap dan hujan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting di sini masih diteruskan sehinga kini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, operasi akan diteruskan sehingga jam 4 pagi sebelum disambung semula kira-kira jam 9 pagi.
"Perjalanan operasi ini akan bergantung pada faktor cuaca, dan kita harap cuaca akan berkekalan baik.
"Kita akan fokus pencarian mangsa di ketiga-tiga sektor termasuk sektor A iaitu tapak perkhemahan Hilltop, sektor B Farm View dan sektor C di kawasan River Side," katanya pada sidang media di lokasi tanah runtuh di sini.
Menurutnya, sebanyak lima agensi terlibat dalam operasi SAR itu yang masing-masing mempunyai kepakaran dalam meneruskan operasi pada waktu malam.
"Saya difahamkan walaupun cuaca diselangi hujan lebat, kami membuat keputusan untuk meneruskan operasi untuk mencari sembilan mangsa yang masih hilang.
"Setakat ini anggota penyelamat kekal seramai 135 anggota dan penugasan akan dijalankan secara giliran," katanya.
Dalam kejadian awal pagi Jumaat lalu, seramai seramai 94 mangsa terlibat dalam kejadian tanah runtuh berkenaan yang terdiri daripada pengunjung dan pekerja tapak perkhemahan.
Setakat ini, seramai 24 mangsa dilaporkan meninggal dunia dan sembilan lagi individu dipercayai masih hilang, manakala 61 individu terselamat.