KLUANG - Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan treler sebelum terjatuh dan diseret dalam kemalangan di Kilometer 72, Jalan Batu Pahat-Mersing dekat sini pada Sabtu.
Kemalangan pada jam 5.42 petang itu mengakibatkan mangsa, Anas Nabil Ahmad Nizam, 21, yang beralamat di Kuala Rompin, Pahang mengalami cedera parah di kepala, tangan kiri, dada, paha sebelah kanan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, kemalangan melibatkan motosikal jenis Honda RS150 ditunggang mangsa dengan sebuah treler.
"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal dan treler dari arah yang sama iaitu dari arah Kluang menghala ke Kahang.
"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa disyaki bergesel dengan treler semasa cuba memotong di sebelah kiri dan menyebabkan motosikal hilang kawalan lalu terjatuh," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa kemudian terseret di bawah treler dan mengalami cedera parah sebelum maut di tempat kejadian.
Menurutnya, pemandu treler, Muhammad Hafizuddin Sahar, 27, yang beralamat di Felda Nitar 1, Mersing, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, pemandu treler berkenaan akan menjalani ujian saringan air kencing di pejabat bahagian narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang selepas dirakam percakapannya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penguasa Bomba Kanan II Saiful Fadly Karim berkata, pihaknya menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah treler.
Katanya, pemeriksaan pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian mendapati mangsa sudah meninggal dunia.
"Kes diserahkan kepada pihak polis dan operasi menyelamat yang melibatkan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) selesai pada jam 5.56 petang," ujar beliau.