Surat-surat dari penjara

Iklan
Majalah Panji Masyarakat bilangan kedua, 15 Mac 1976 merakamkan wajah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

MAJALAH Panji Masyarakat bilangan kedua, 15 Mac 1976 merakamkan wajah Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI), Perdana Menteri ke-10 Malaysia dengan menyebut:

"Anak muda yang iras wajahnya seakan-akan Almarhum Tun Dr Ismail ini ialah seorang tokoh belia yang tidak asing lagi di negara kita malah di Asia juga. Dia ialah Anwar Ibrahim, Presiden Majlis Belia Malaysia sekarang masih menyandang Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Kami pilih sketch wajahnya menghiasi muka depan Panji Masyarakat keluaran Mac sebagai penghormatan daripada tulisannya yang kami muatkan di keluaran ini.

Iklan
Iklan

"Anwar kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dikatakan terlibat di dalam demontrasi pelajar yang berlaku pada 3 Disember 1974. Beliau ditahan di Kem Tahanan Kamunting, Perak. Rencana yang kami muatkan di dalam Panji Masyarakat keluaran ini sebenarnya merupakan surat-surat beliau yang dikirimkan kepada teman-teman seperjuangannya, yang kemudiannya disusun sebagai ucapan dasar di Muktamar Thanawi ABIM yang berlangsung di Kolej Islam, Klang baru-baru ini.”

Demikian perspektif Pengarang Panji Masyarakat, Ahmad Dasuki terhadap pemimpin pelajar yang sudah bergelar tokoh belia terbaik di Malaysia mahupun Asia pada sekitar 46 tahun yang lampau.

Iklan

Hakikatnya, Panji Masyarakat tidak salah pilih menitip kisah Anwar di penjara kerana hampir lima dekad kemudian, pemimpin pelajar itu terbukti merupakan seorang tokoh negara yang berwibawa serta tersohor di peringkat antarabangsa.

Buktinya DSAI menerima lebih 40 ucapan tahniah daripada pemimpin-pemimpin negara seluruh dunia selepas dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 menerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu.

Iklan

DSAI adalah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) telah membentuk kerajaan perpaduan hasil gabungan parti-parti politik seperti PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan lain-lain untuk menerajui pentadbiran Malaysia bagi tempoh 2022-2027.

Sebenarnya, penulis berhasrat menulis tentang DSAI puluhan tahun yang lalu semenjak Panji Masyarakat menyiarkan surat-surat Anwar dari penjara, tetapi hajat tersebut terbengkalai begitu sahaja sehinggalah DSAI menjadi Perdana Menteri, lalu tersentak kembali untuk melunaskan hajat itu.

Majalah Panji Masyarakat keluaran tahun berkenaan masih tersimpan elok, sempurna dan dianggap majalah tempatan pertama yang menyiarkan gambar wajah DSAI, beberapa tahun kemudian barulah Sarina (keluaran Amir Enterprise) dan Tamadun berani memaparkan wajah beliau.

Hal ini dikatakan DSAI penentang dasar kerajaan. Alasan tersebut boleh disimpulkan daripada pandangan Anwar dalam surat-surat dari penjara yang menyebut bahawa:

"Bagi mereka dasar atau ideologi yang wujud di muka bumi hanya kapitalisme, sosialisme, komunisme atau gabungan cebisan utama ideologi-ideologi tersebut sekali lagi untuk disesuaikan dengan semangat nasionalisme yang memuncak dalam iklim tempatan. Agama bagi mereka adalah sekular, harus disesuaikan dengan keadaan dan zaman. Dari itu, akan dibicarakan soal rohani dan agama di upacara agama dan ideologi yang dianuti mereka dengan melupakan agama di upacara lainnya.

"Pertimbangan mereka adalah menurut kehendak nafsu dan tertumpu kepada pembangunan benda, berfalsafahkan benda meskipun, tidak akan terlupa sekali-kala diselitkan soal pembangunan rohani dan akhlak.

Pandangan Anwar itu tidak serasi dengan pemerintah kontemporari, akibatnya beliau ditahan di Kem Tahanan Kamunting selama dua tahun kerana menganjurkan demontrasi kemiskinan di Baling, Kedah pada 7 Disember 1974 tetapi sebelum itu pada 1972 Anwar pernah ditahan pertama kali kerana mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Masjid Al Rahman, Universiti Malaya, Kuala Lumpur membantah kedatangan Perdana Menteri Thailand, Thanom Kittikachorn ke Malaysia. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang diketuai oleh Anwar menyelar kerajaan Thanom kerana menindas penduduk Islam di Selatan Thailand khususnya di Pattani dan Narathiwat.

Rakan penulis, Hasni Tamrin Halimi bekas Setiausaha Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang turut sama berdemontrasi, menceritakan ketika Anwar ditangkap dan diusung keluar oleh pasukan keselamatan dari kelompok penunjuk perasaan sempat berteriak"Hasni... teruskan demo... jangan mundur!” Hasni terpaksa mengambil alih peranan Anwar memimpin demontrasi selama lima hari berturut-turut.

Menurut Hasni, seminggu selepas berdemontrasi, Anwar dibebaskan. Hasni serta kawan-kawannya menyambut Anwar sebagai wira di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya.

Hasni yang kini menetap di Sungai Rokam berdekatan dengan Tambun, Perak kawasan Parlimen DSAI merupakan novelis yang telah menghasilkan novel seperti Gegaran di Danau Toba (DBP 1984) dan Sekeruh Menam Chao Phraya (Kayacipta: 2022).

Cerita Hasni lagi, kawan Anwar lain yang terbabit dalam demontrasi tersebut ialah Nordin Razak (kini datuk) bekas Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Surat Anwar seperti yang dirakamkan oleh Panji Masyarakat menukilkan pandangan beliau tentang Islam di negara ini yang dilihatnya lima dekad yang lampau;"Umumnya kita tidak akan menempuh masalah apa jua pun sekiranya pengertian Islam kita, disempitkan sesuai dengan pengertian yang dikembangkan di zaman keruntuhan Islam dan dibunuh pula oleh penjajah.

"Sebaliknya, manakala terdapat anjuran untuk menghayati Islam sebagai ad-din; satu agama yang mencetuskan revolusi rohaniah dan darinya satu peradaban yang lengkap, tegap terdiri atas prinsip haq; maka di saat itulah kita akan dicabar dan ditentang kerana Islam itu adalah sumber kekuatan dan pembenteras kezaliman dan kepura-puraan dalam masyarakat.”

Tegas Anwar lagi,"Islam dengan sistemnya yang tersendiri (nizamul Islam) dan sebagai satu ad-din yang lengkap, ia mengatur kehidupan manusia termasuklah sistem ekonominya yang tersendiri berdasarkan fitrah manusia (dinal-fitr).”

Majalah Panji Masyarakat itu turut memasukkan cerita Ibrahim Ali dalam penjara.

Beliau ialah Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali yang merupakan rakan DSAI di Kem Tahanan Kamunting telah menceritakan kesedihannya,"Kemuncak dari kesedihan ialah semasa berhari raya... pada tiap-tiap malam Ramadan kami bersembahyang tarawih dua orang saja. Anwar imam saya makmum.”

Akhirul kalam bahawa setelah 46 tahun berlalu, majalah Panji Masyarakat menempa sejarah negara kerana merakamkan surat-surat dari penjara karya DSAI, Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Sesungguhnya, kisah-kisah DSAI yang silam kini menjadi sebahagian sejarah negara!

* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)