BENTONG - Rata-rata pemilik inap desa dan tapak perkhemahan di Janda Baik mengalami kerugian sehingga 50 peratus susulan kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada Jumaat.
Pemilik Dinda Chalet dan Glamping, Hasnah Abdullah, 36, berkata, jumlah kerugian adalah mencecah sehingga RM3,000 sehari.
"Disebabkan kejadian tanah runtuh yang mengejutkan semalam (Jumaat), 50 peratus pelanggan kami telah membatalkan tempahan.
"Ada antara mereka yang meminta untuk tunda percutian dan ada juga mahu kami beri bukti bahawa tempat ini selamat.
"Jadi, kami terpaksa memulangkan semula bayaran yang telah dilakukan oleh mereka. Agak sedih juga sebenarnya.
"Saya faham mengapa mereka lakukan perkara ini. Tetapi alhamdulillah setakat ini, tempat kami masih lagi dalam keadaan baik iaitu tidak pernah berlaku banjir atau sebagainya,” katanya kepada Sinar Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerugian tersebut tidak dapat ditampung kembali memandangkan keuntungan hanya boleh dikaut semasa cuti sekolah dan hujung minggu.
"Selalunya tempat kami ini akan penuh pada hujung minggu dan cuti sekolah untuk tampung semula kerugian bulan sebelumnya.
"Jadi apabila perkara ini berlaku, rugi agak besar kerana selalunya cuti hujung tahun kami tambah pekerja untuk berikan perkhidmatan terbaik,” ujarnya.
Dalam masa sama, pemilik Afsana Villa, Ahmad Kamal Mohamad berkata, jika bulan sebelumnya menerima tempahan sebanyak 60 peratus, namun pada bulan ini hanya sekitar 30 peratus sahaja. Selalunya cuti sekolah akan menjadi 100 peratus.
Jelas beliau, di kawasannya juga turut menerima tempias kejadian tanah runtuh yang berlaku dan juga laporan yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.
"Sebenarnya di kawasan ini baik sahaja. Sudah tiga hari tidak hujan dan tidak pernah berlaku banjir,” ujarnya.
Apabila ditanya mengenai persediaan bencana, beliau berkata, perkara itu berkemungkinan besar tidak berlaku memandangkan kerajaan negeri telah mendalamkan sungai.