BENTONG - Tinjauan Sinar Ahad mendapati aktiviti riadah dan mandi sungai di Pusat Rekreasi Janda Baik berjalan seperti biasa meskipun ketika ini musim tengkujuh serta kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang berlaku pada Jumaat.
Aliran sungai sedikit deras dan keruh disebabkan hujan sebelum ini tidak menghalang pengunjung bermandi-manda bersama ahli keluarga dan rakan-rakan di beberapa kawasan tumpuan.
Ketika ini cuaca mendung dengan awan gelap dan menurut laporan ramalan cuaca berkemungkinan hujan sehingga jam 5 petang.
Meskipun begitu, aktiviti santai tersebut didapati mendapat kurang sambutan walaupun musim cuti sekolah telah bermula minggu lepas.
Pengunjung, Izwan Hariz, 27, berkata, percutiannya ke kawasan tersebut telah dirancang sejak dua bulan lalu.
Jelasnya yang bekerja sebagai pereka grafik, penyelidikan terhadap kawasan itu telah dilakukan terlebih dahulu sebelum melakukan tempahan inap desa.
Ini kerana katanya, keadaan cuaca tidak menentu akan menyebabkan perkara tidak diingini berkemungkinan berlaku.
"Saya datang dengan keluarga besar iaitu adik-beradik ayah saya. Kita memang sudah semak keadaan semua terlebih dahulu. Selain itu kami pilih tempat ini pun kerana ia kawasan yang selamat.
"Kami juga ada perancangan lain kalau hujan, kami lakukan aktiviti lain. Jadi tidak akan mandi kalau waktu berbahaya.
"Pada saya, kita kena elakkan untuk lakukan aktiviti kekeluargaan di tepi sungai, bukit pada hujung tahun ini. Sedia maklum sekarang ini musim hujan. Jadi ia agak berbahaya,” katanya.
Pada Jumaat, negara dikejutkan dengan satu kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali yang melibatkan 94 orang iaitu 80 pengunjung dan 14 pekerja.
Selain itu, individu yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, aktiviti tersebut dilakukan pada saat akhir memandangkan cuti sekolah.
Meskipun begitu, dia akan sentiasa cakna terhadap tahap kelajuan air ketika sedang bermandi manda bersama keluarga.
"Di sini juga dulu ada kes kepala air berlaku. Jadi saya telah sediakan langkah-langkah apabila dapat petanda bencana itu berlaku melalui pembacaan di internet.
"Jadi saya harap tiada perkara yang serius berlaku. Saya akan cakna terhadap petanda-petanda awal kepala air akan berlaku,” ujarnya.