SHAH ALAM - Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat menyatakan tragedi tanah runtuh boleh dibendung sekiranya semua pihak menggerakkan segala sumber yang ada digunakan untuk mencegah sebelum bencana terjadi.
Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, apabila komitmen memantau dan mencegah itu dijalankan sebaiknya banyak nyawa dapat diselamatkan.
"Pendekatan itu harus diubah oleh kerajaan baharu ini. Sekiranya langkah pencegahan diambil selepas berlakunya bencana sebelum ini maka sudah pasti banyak nyawa dapat dielakkan dari menjadi mangsa bencana kemalangan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pada Jumaat, media melaporkan seramai 94 mangsa terbabit dalam kejadian tanah runtuh pada jam 2.24 pagi.
Kejadian tersebut telah berlaku di tepi jalan berhampiran Father's Organic Farm dan telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan tersebut.
Menurut Lam Thye, melihat kepada sudut lain pula, keadaan tanah di kawasan itu dengan keadaan cuaca buruk juga sepatutnya diklasifikasikan sebagai kawasan berisiko dan bencana akan sentiasa berlaku jika tidak dipantau.
"Pihak berkuasa tempatan seharusnya melakukan pemantauan yang ketat dengan meminta laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (ElA) daripada pihak penganjur sebelum menganjurkan sebarang program mahupun aktiviti.
"Langkah ini adalah merupakan langkah wajib yang patut dipatuhi oleh semua pihak yang ingin melaksanakan program di kawasan yang melibatkan alam sekitar," ujarnya.
Beliau berpandangan pihak kerajaan perlu sedar bahawa kejadian bencana adalah sangat berisiko dan mereka perlu memainkan peranan penting dalam melindungi masyarakat awam.
"Ini kerana kejadian seperti ini bukanlah yang pertama tetapi sudah banyak kali berlaku.
"Justeru, penelitian semula dan penguatkuasaan undang-undang serta larangan keras harus dipraktikkan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku," katanya.
Lam Thye turut mencadangkan agar peruntukan dapat disediakan untuk mengaplikasikan teknologi yang wujud dalam mengesan pergerakan tanah sekali gus boleh mengeluarkan amaran awal tentang bahaya.