KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Santapan bersama diaspora Malaysia di Doha pada Sabtu sempena lawatan khas Seri Paduka Baginda ke Qatar.
Istana Negara menerusi catatan di Facebook memaklumkan keberangkatan Al-Sultan Abdullah diiringi Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Arif Temenggung Pahang Tengku Fahad Mua’adzam Shah.
Iklan
Iklan
Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Qatar Zamshari Shaharan.
Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan diaspora Malaysia di Qatar.
Majlis Santapan bersama diaspora Malaysia itu adalah satu daripada acara dalam rangka lawatan khas Al-Sultan Abdullah ke Doha atas persilaan peribadi Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani sempena temasya Piala Dunia FIFA Qatar 2022.
Yang di-Pertuan Agong dijadual berangkat pulang dan tiba di tanah air pada Isnin (19 Disember). -Bernama