BATANG KALI - Khidmat lapan jentera pengorek (excavator) digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki mangsa tanah runtuh di Father's Organic Farm, Jalan Genting di sini pada Ahad.
Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, lapan excavator ini ditugaskan di sektor A dan sektor C bagi kerja pengorekan serta alih tanah.
Iklan
Iklan
"Setelah itu, pengorekan akan berhenti dan pemeriksaan lanjutan dijalankan oleh Unit Anjing Pengesan (K9) serta secara manual," katanya ketika sidang akhbar di lokasi kejadian pada Ahad.
Menurut Norazam, ini bagi mengelakkan anggota badan mangsa yang tertimbus terkena dengan 'bucket' excavator.
Tambahnya, pasukan penyelamat juga akan ditempatkan bagi memerhatikan dan memantau pergerakan 'bucket' terbabit.
Dalam pada itu katanya, pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah membantu dengan menyumbang peralatan 'Ground Penetrating Radar (GPR) bagi mengesan mangsa di dalam tanah.
"Selain bantu kesan mangsa di dalam tanah, alatan ini juga membantu bagi mengukur ketebalan tanah runtuh," katanya.