Undi percaya: Jangan buang masa hasut ahli Parlimen BN

Iklan
Mohd Isam

SHAH ALAM - Pembangkang disaran supaya tidak membuang masa menghasut ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) menentang usul kerajaan di Dewan Rakyat, sebaliknya fokus untuk bekerja demi rakyat.

Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkata, tindakan pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang cuba mempengaruhi pendirian ahli Parlimen parti itu adalah tidak wajar dan perlu dihentikan.

Iklan
Iklan

"Pilihan raya umum (PRU) dah habis. Jadi semuanya sudah ok, sudah jelas. Kerajaan pun dah ada. Jadi fokus sajalah dan tunggu lima tahun lagi, lawanlah.

"Tak perlu buang masa, fokuslah untuk membantu rakyat. Tak kiralah kita ni kerajaan atau pembangkang yang telah dipilih oleh pengundi. Jadi kita fokus sahajalah," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari yang menyarankan mana-mana ahli parlimen BN/UMNO yang masih punya hati dan prinsip untuk tidak berteduh di bawah kerajaan yang diketuai Pakatan Harapan (PH) supaya menentang usul kerajaan di Parlimen.

Ahmad Fadhli berkata, sekiranya penentangan itu dibuat, PN bersedia untuk berunding dan menawarkan logo jika berlaku pengosongan kerusi dan pilihan raya kecil (PRK).

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Isam menegaskan, mustahil berlaku penentangan usul kerajaan di Parlimen oleh ahli-ahli Parlimen BN/UMNO.

"Kita sendiri dah ada komitmen kita kepada parti, komitmen kita untuk menjaga masyarakat," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat yang pertama di bawah Kerajaan Perpaduan bermula Isnin dengan agenda utamanya antara lain bakal menyaksikan pembentangan usul undi percaya bagi keabsahan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Usul undi percaya itu bertujuan membuktikan Anwar, yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November, mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.