PRK DUN Gurun perlu diadakan serentak PRN Kedah

Iklan
Wan Ahmad Fauzi

SHAH ALAM - Pakar Perlembagaan berpandangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun perlu diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan selepas Mac tahun depan.

Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, kekosongan kerusi DUN itu berlaku dalam tempoh dua tahun sebelum berakhir penggal DUN, justeru tidak perlu diadakan PRK kerana sokongan majoriti kepada Menteri Besar semakin mengukuh.

Iklan
Iklan

"PRK secara amalannya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika ada kekosongan luar jangka.

"Namun disyaratkan jika kekosongan itu berlaku dalam tempoh dua tahun sebelum berakhir penggal DUN maka tidak boleh diadakan PRK melainkan sekiranya Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) memberitahu kepada SPR secara bertulis bahawa terdapat isu melibatkan jumlah parti yang membentuk majoriti dalam DUN.

Iklan

"Jika bilangan parti yang membentuk majoriti ahli DUN terjejas oleh kekosongan itu dan dalam keadaan sedemikian kekosongan itu hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh ditetapkan SPR," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Ahad, ADUN Gurun, Datuk Johari Abdul memaklumkan telah mengosongkan kerusi DUN berkenaan serta-merta menerusi satu klip video berdurasi dua minit enam saat di Facebooknya.

Iklan

Beliau sudah mengutuskan sepucuk surat kepada Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat dan sah diterima pada 13 Disember lalu mengenai perkara tersebut.

Johari menjadi ADUN Gurun sejak 2018 selepas menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 4,207 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pada 31 Oktober lalu, Johari dipilih sebagai ketua pembangkang baharu DUN Kedah bagi menggantikan Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi yang dipecat daripada Parti Amanah Negara (Amanah) sehari sebelumnya.

Menurut Wan Ahmad Fauzi, tempoh hayat DUN Gurun kini tinggal kurang dari dua tahun iaitu dikira dari tarikh bermula mesyuarat penggal pertama DUN.

"Ini bermakna tidak boleh diadakan PRK kerana kekosongan berlaku dalam tempoh dua tahun sebelum berakhir penggal DUN.

"Jadi kerusi DUN Gurun itu akan kosong sehinggalah diadakan PRN Kedah nanti," ujarnya.