BAGAN DATUK - Belum sempat sembuh dari berkhatan, dua beradik terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir genang yang berlaku di rumahnya di Tebuk Che Maja, di sini sejak 16 Disember lalu.
Bagaimanapun, Muhammad Adam Mikail Mazlan, 9, dan adiknya, Muhammad Amar Zafril, 5, tetap rasa selesa berada di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat di sini.
Selepas berkhatan beramai-ramai pada Sabtu lalu, Muhammad Adam Mikail berkata, dia hanya berehat di atas katil di rumah dan tidak menyangka terpaksa berpindah ke PPS.
"Masa air banjir masuk dalam rumah, ada anak ikan masuk. Saya sempat tangkap anak ikan sebelum berkhatan hari itu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di PPS SK Sungai Tiang Darat, di sini pada Ahad.
Sementara itu, ibunya, Fairuz Nyan, 40, berkata, banjir genang itu berlaku sejak sebulan lalu dan lambat surut menyebabkan keluarganya mengambil keputusan berpindah ke PPS berkenaan.
Jelasnya, disebabkan banjir tersebut, beberapa barang-barang seperti perabot rosak kerana terkena air banjir namun beberapa barang lain termasuk peralatan lain sempat diletakkan di tempat yang lebih tinggi.
Seorang lagi mangsa, Rahim Masni, 56, mengakui banjir kali ini lebih teruk berbanding yang pernah berlaku sebelumnya.
"Banjir genang ini memang sering berlaku di kawasan ini. Dulu kalau naik tak tinggi dan cepat surut tapi kali ini agak tinggi, lambat pula nak kering. Dah sebulan kami berhadapan masalah ini.
"Memang banjir kali ini tinggi sampai nak solat pun atas katil sebab lantai dah dipenuhi air. Mujurlah hari ini dah surut sikit. Harap tak hujan lagi, kalau tidak air naik balik," katanya.
Menurutnya, usaha mengepam air keluar oleh pihak berkaitan membantu mempercepatkan air surut dari kawasan rumahnya memudahkan kerja-kerja membersihkan kediaman.