SHAH ALAM - Program Jalinan Akar Seni Budaya berjaya menghimpunkan hampir 200 pendikir dari dua negara serumpun iaitu Malaysia dan Singapura.
Lebih manis, ia adalah gandingan pertama secara rasmi antara Gabungan Pendikir Lembah Klang (GPLK) dan pasukan dikir barat dari negara seberang tambak itu.
Presiden Gabungan Pendikir Lembah Klang (GPLK), Mohd Asrul Faizal Kamaruzaman berkata, kerjasama itu adalah permulaan bermakna bagi kedua-dua pihak dan diharap dapat membuka lebih banyak ruang kolaborasi pada masa akan datang.
"Bagi program kali ini, Singapura menghantar dua kumpulan dikir iaitu kumpulan dikir lelaki, Kita Kawan dan kumpulan dikir perempuan, Dang Anum. Malaysia juga menghantar dua kumpulan iaitu Taman Melewar dan GPLK.
"Sukar sebenarnya nak panggil kumpulan dari sana untuk datang ke sini. Tapi kami rasa berbangga dan bertuah kerana mereka yang tawarkan diri untuk datang Malaysia bagi mencari kembali asal usul dikir barat serta merasai sendiri pengalaman beraksi di sini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas Program Jalinan Akar Seni Budaya yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada malam Sabtu.
Pengasas Kumpulan Dikir Barat Wanita Dang Anum dari Singapura, Zulkifli Rasman berkata, pihaknya rasa berbangga kerana dapat bergandingan dengan pasukan dikir barat dari Malaysia dalam program yang cukup meriah.
Jelasnya, kumpulan itu ditubuhkan pada tahun 2009 dan berpangkalan di Woodlands.
"Tapi, kami ambil keputusan untuk datang merasai sendiri pengalaman berdikir di negara asal akar seni budaya ini," ujar beliau.
Sementara itu, Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang berkata, pihaknya sentiasa terbuka dan menyokong apa jua aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Malah katanya, sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP), hampir setiap bulan ada aktiviti dikir barat di syarikat itu.
"Saya difahamkan ada 28 kumpulan dikir barat di sekitar Lembah Klang dan kita benarkan mereka guna pentas yang ada untuk membuat persembahan secara santai sebelum ini.
"Karangkraf juga sentiasa menerima rombongan dan lawatan termasuk dari luar negara. Kami berbesar hati apabila pasukan dikir barat Singapura datang ke sini, apatah lagi atas nama budaya," jelasnya.