Ringgit meningkat semula berbanding dolar AS

Iklan
212702

RINGGIT meningkat semula berbanding dolar AS hari ini berikutan minat pelabur terhadap mata wang tempatan meningkat selepas kerajaan mengumumkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disambung semula ketika sentimen lemah terhadap ringgit.

Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.1080/1110 berbanding dolar AS daripada 4.1120/1170 ketika ditutup pada Jumaat.

Iklan
Iklan

"Penggiat pasaran khususnya mereka yang terlibat dalam sektor pembinaan memberi reaksi positif terhadap laporan mengenai ECRL.

"Limpahan daripada projek mega ini amat positif untuk pertumbuhan dan akan merangsang sentimen pelabur asing terhadap ekonomi negara,” kata peniaga.

Iklan

Pada Jumaat, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan projek ECRL akan disambung semula pada kos yang lebih rendah iaitu RM44 bilion berbanding RM65.5 bilion sebelum ini.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company akan menubuhkan syarikat usaha sama 50:50 untuk mengurus, mengendalikan dan menyelenggara rangkaian rel ECRL.

Iklan

Beliau berkata, keputusan tersebut akan mengurangkan beban kewangan negara yang sebelum ini terpaksa menampung keseluruhan kos operasi dan penyelenggaraan.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata projek tertangguh itu dijangka bermula Mei ini jika kesemuanya berjalan mengikut perancangan.

Sementara itu, dolar AS susut daripada aliran peningkatannya sebelum ini berikutan perkembangan terkini rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang menyaksikan Beijing tidak melemahkan tuntutannya bagi perjanjian perdagangan itu.

Setiausaha Perbendaharaan AS Steve Mnuchin berkata, urus niaga perdagangan itu perlu melangkaui perjanjian terdahulu antara kedua-dua kuasa ekonomi dunia tersebut dan kedua-dua pihak"telah menghampiri pusingan akhir” untuk mengakhiri perang perdagangan dan tarif selama sembilan bulan

Secara keseluruhan ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6698/6728 daripada 3.6744/6798 pada Jumaat lepas dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6470/6520 daripada 4.6519/6596.

Unit tempatan bagaimanapun menyusut berbanding dolar US kepada 3.0378/0405 daripada 3.0367/0406 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.3815/3866 daripada 5.3760/3842.- Bernama