GEORGETOWN - Seramai 11 nelayan warga asing ditahan selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang memeriksa dua buah bot di Pulau Kendi di sini pada Jumaat.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kedua-dua bot nelayan milik warga tempatan dan warga asing itu ditahan untuk pemeriksaan oleh kapal ronda Maritim Malaysia dalam Op Tanjung yang dijalankan.
Menurutnya, bot kelas C milik warga tempatan ditahan di kedudukan 71 batu nautika barat Pulau Kendi pada jam 1.50 petang, manakala bot nelayan asing Indonesia ditahan di kedudukan 19.8 batu nautika barat daya Pulau Kendi pada jam 7.20 malam.
"Hasil pemeriksaan, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak dikendalikan oleh enam nelayan warga Myanmar. Mereka tiada sebarang dokumen pengenalan diri serta permit bekerja yang sah.
"Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 35 hingga 50 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
"Pemeriksaan mendapati, bot terbabit berpangkalan di Tanjung Balai, Indonesia. Nelayan asing yang ditahan berusia lingkungan 13 hingga 30 tahun.
Beliau berkata, 11 nelayan asing tersebut disyaki telah melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
"Kedua-dua bot serta kesemua kru ditahan selain hasil laut dirampas lalu dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
"Saya memberi amaran kepada semua terutamanya komuniti nelayan tempatan termasuk pemilik bot agar mematuhi peraturan yang ditetapkan. Kita tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada serta memastikan perairan negara sentiasa terkawal dari isu pencerobohan bot nelayan asing," katanya.
Tambahnya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau talian kecemasan MERS 999.