BATANG KALI - Rumah Hutan Terapi Alam milik pengasas kosmetik, Rozita Ibrahim telah menyumbang set makan tengah hari kepada petugas keselamatan dan media di lokasi runtuhan tanah di Father's Organic Farm di sini.
Eksekutif Sumber Manusianya, Nor hidayah Mat Zain berkata, sebanyak 900 set makan tengah hari diedarkan kepada petugas keselamatan dan media yang berkampung sejak hari pertama kejadian berlaku pada Jumaat lalu.
"Idea ini dicetuskan oleh bonda Rozita sendiri yang mahu memudahkan petugas yang terlibat dalam operasi mencari menyelamat termasuk pengamal media yang bertugas.
"Seramai 20 orang kakitangan bergotong-royong menyediakan set makanan tengah hari memandangkan lokasi kami juga tidak jauh dari tempat tragedi," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Nor Hidayah berkata, pihak Rumah Hutan Terapi Alam turut mempelawa petugas barisan hadapan termasuk media menggunakan kemudahan di resort berkenaan.
"Boleh datang untuk mandi, sembahyang dan bereha, silalah datang kami cuba bantu anda sebaiknya," katanya.
Difahamkan, pasukan keselamatan termasuk pasukan Smart, bomba, polis tentera serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta pengamal media berkampung di lokasi kejadian sejak Jumaat lalu.
Dalam tragedi 2.42 pagi Jumaat, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu yang terletak di Jalan Genting - Batang Kali.
Setakat Sabtu, sembilan mangsa masih hilang manakala 24 lagi disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 orang yang terbabit dalam tragedi itu.