Ingatkan patung rupanya mangsa lemas

Iklan
Mayat mangsa yang berjaya dibawa naik diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Foto JBPM Perak

PARIT - Objek yang disangka patung ditemukan tersangkut pada rumah rakit di Kampung Ekor Lambat di sini pada Ahad, rupa-rupanya mayat seorang pekerja pam pasir yang dilaporkan terjatuh sungai sejak tiga hari lalu.

Penduduk, Zulkhairi Meor Mohamed Amno, 28, berkata, mayat lelaki itu ditemui sekitar jam 12.30 tengah hari selepas terhidu bau busuk.

Iklan
Iklan

"Saya bersama dua rakan selalu lepak di rumah rakit sambil menjahit jaring. Sebaik tiba sahaja di sini, saya tercari-cari bau busuk seperti bangkai di sekeliling rumah rakit.

"Saya sangka objek terapung itu patung apabila saya mendekatinya, saya terkejut terus berlari naik atas tebing dan menghubungi pihak polis," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurutnya, ia merupakan pengalaman pertama jumpa mayat sepanjang lima tahun bekerja di premis ternakan ikan sangkar.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, mayat mangsa dikenali sebagai M Chandran, 38, ditemukan kira-kira 30 kilometer dari lokasi terakhir dilihat.

Iklan

Tambahnya, lelaki terbabit ditemui pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diaktifkan selepas menerima panggilan sekitar jam 11.17 lagi, Jumaat lalu.

"Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit menggunakan bot untuk mengambil mayat dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, seramai 26 pegawai dan anggota daripada bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terlibat dan operasi ditamatkan pada jam 2.20 petang.