Warga emas enggan pindah, bimbang lembu peliharaan lemas

Iklan
Mohamad (kanan) dan Nur Syafeqah (dua dari kiri) menaiki bot pasukan keselamatan untuk ke PPS.

RANTAU PANJANG - Seorang warga emas di Kampung Baroh Pial, di sini pada Ahad enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana bimbang keselamatan lembu peliharaannya.

Mohamad Seman, 74, berkata, dia tidak sempat menyelamatkan seekor lembu yang ditambat pada tiang menara telekomunikasi di kampung tersebut apabila air naik dengan pantas.

Iklan
Iklan

"Saya ada tiga ekor lembu, dua tidak diikat dan sudah berkeliaran ke tempat selamat.

"Seekor lagi itu, sebelumnya diikat pada pekarangan rumah namun tenggelam sehingga 0.8 meter. Jadi saya alihkan ke atas jalan namun ia turut tenggelam dan saya letak pula ke kawasan menara," katanya ketika ditemui semasa operasi menyelamat oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, di sini pada Ahad.

Lembu mencari tempat selamat daripada banjir.

Iklan

Mohamad terpaksa dipujuk oleh anak bongsunya, Nur Syafeqah Mohamed, 26, selama sejam sebelum lelaki itu bersetuju keluar dari rumah dua tingkat yang ditenggelami air lebih semeter.

"Saya pujuk ayah beritahu lepas ini tidak ada elektrik dan bahaya kalau terus tinggal di rumah,” kata Nur Syafeqah.

Iklan

Menurutnya, selepas berjaya memujuk bapanya keluar, lelaki itu bagaimanapun berpatah balik dengan menaiki bot bomba ke tempat lembunya diikat.

"Selepas berpuas hati lembunya semua selamat, barulah bapa naik lori ke PPS,” katanya.

Tambah wanita itu, mereka ditempatkan ke PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial.

Setakat jam 4.20 petang Ahad, Kelantan mencatat peningkatan jumlah mangsa banjir mendadak seramai 3,713 di 37 PPS yang dibuka membabitkan lapan daerah berbanding 1,584 mangsa pada Sabtu.