Penghormatan terakhir untuk mangsa tanah runtuh Batang Kali

Iklan
Chandrika hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali.

KUALA LUMPUR - Orang awam hadir di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di Jalan Ipoh di sini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali.

Jambangan bunga diletakkan di luar pagar sekolah berkenaan difahamkan sejak hari kejadian, Jumaat lalu.

Iklan
Iklan

Bekas pelajar sekolah berkenaan, Jason Wong, 18, berkata, kejadian tersebut memberi tamparan besar buatnya memandangkan rata-rata guru yang terlibat dalam insiden itu dikenalinya.

Jason

Menurutnya, dua daripada guru yang maut pernah mengajarnya subjek Sains dan Bahasa Melayu.

Iklan

"Salah seorang daripadanya adalah Lam Sook Man yang saya tahu sukakan aktiviti luar dan berkhemah. Dia seorang yang baik dan sangat prihatin dengan pelajar.

"Saya ucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa terlibat dan semoga kekal tabah dan kuat semangat," katanya ditemui di sekolah berkenaan.

Iklan

Seorang ibu bekas pelajar sekolah berkenaan, K Chandrika, 57, berkata, kesemua tiga anaknya pernah bersekolah di sana menyebabkan dia mengenali kebanyakan guru di sekolah berkenaan.

Jambangan bunga memenuhi luar pagar SJKC Mun Choong di Jalan Ipoh.

"Saya sedih kerana banyak cikgu yang saya rapat, banyak bantu saya dan adakala bertembung di pasar ketika membeli barang basah.

"Lepas tahu kejadian pada Jumaat, emosi saya sangat terganggu. Saya harap baki mangsa dapat ditemui segera," katanya.

Seorang ahli perniagaan, Lim Yau Hui, 47, sanggup datang dari Cheras bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut.

Yau Hui berharap, kejadian itu menjadi iktibar oleh kerajaan pusat dan negeri yang akan mengambil langkah pencegahan bagi mengelak insiden sama berulang.

Yau Hui

"Saya rasa pihak kerajaan perlu menyediakan sistem atau garis panduan keselamatan kepada pengunjung di lokasi riadah dan tapak perkhemahan.

"Rakyat juga perlu beri kerjasama dan peka dengan fenomena alam semula jadi. Ini memang satu pengajaran yang amat besar, sebagai rakyat Malaysia saya simpati dengan insiden ini dan harap kejadian sama tidak berulang," katanya.

Dalam kejadian awal pagi Jumaat lalu, seramai 94 mangsa termasuk guru sekolah berkenaan serta pekerja tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali terlibat dalam kejadian tanah runtuh tersebut.

Setakat ini, 61 mangsa ditemui selamat, 24 meninggal dunia dan sembilan mangsa dilaporkan masih hilang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada hari ketiga diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bersama empat agensi lain.