BATANG KALI - Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat lokasi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting di sini pada Ahad.
Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada jam 4.15 petang.
Turut kelihatan adalah Ketua Pengarah Bomba, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.
Tunku Azizah turut diberi taklimat mengenai kejadian tanah runtuh itu dan sempat meluangkan masa menyantuni pasukan petugas penyelamat.
Baginda yang meluangkan masa kira-kira satu jam kemudian berangkat pulang pada jam 5.20 petang
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki sembilan mangsa hilang dalam insiden itu kini masuk hari ketiga.
Setakat jam 5 petang masih tiada sebarang perkembangan penemuan mangsa yang hilang.
Antara agensi yang terlibat dalam SAR adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).