SHAH ALAM - Kanak-kanak lelaki berusia setahun, Wong Zi Hang antara 21 mangsa korban yang dikenalpasti terlibat dengan kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.
Selain itu, enam lagi mangsa melibatkan kanak-kanak adalah Tong Kai En (sembilan tahun), Zech Loh Qi Yi (tujuh tahun), Eng Huai Yi (12 tahun), Ng Yee Tong (11 tahun), Ka Sin Ya Vanya (enam tahun) dan Daniel Khor Yen (lima tahun).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), mangsa lain adalah Lim Wei Xin (36 tahun), Hong Mei Jing (38 tahun), Nurul Azwani Kamaruzaman (31 tahun), Lai Lee Yin (37 tahun), Lai Lee Koon (44 tahun), Ka Kok Boon (43 tahun).
Turut dikenal pasti, Eng Choon Wen (43 tahun), Lam Sook Man (37 tahun), Wong Kim Yap (34 tahun), Fong Choy Kee (43 tahun), Liu Pei Si (44 tahun), Chin Su King (36 tahun), Lai Chee Sam (33 tahun) dan Gain Choo Yin (35 tahun).
Menurut Nadma, proses bedah siasat untuk semua 24 mayat yang dijumpai telah selesai dijalankan.
Tambahnya, proses mengenalpasti mayat mangsa dijalankan dengan menggunakan kombinasi tiga kaedah iaitu pengecaman DNA, cap jari, dan pengecaman pihak waris pada wajah atau pun barangan peribadi serta tanda unik pada badan mangsa.
"Tiga daripada 24 mangsa yang meninggal dunia sedang dikenal pasti melalui kaedah-kaedah ini,” katanya pada Ahad.
Selain itu, Nadma turut mengeluarkan status bagi lapan mangsa yang dirawat.
Daripada jumlah tersebut, lima daripadanya telah dibenarkan keluar dan tiga iaitu Tan Ei Ein (43 tahun), Ling Zi Xuan (19 tahun) dan Loh Teng Shui (44 tahun) masih menerima rawatan.
"Sebarang maklumat terkini mengenai perkembangan mangsa-mangsa bencana akan dimaklumkan dari masa ke masa setelah mendapat pengesahan rasmi daripada agensi yang bertanggungjawab,” ujarnya.
Pada Jumaat, negara dikejutkan dengan satu kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang mana telah melibatkan seramai 94 individu iaitu 80 pengunjung dan 14 pekerja Father's Organic Farm.
Setakat jam 9 malam pada Sabtu, sejumlah 24 mangsa meninggal dunia berjaya dikeluarkan daripada tempat kejadian, terdiri daripada lima kanak-kanak (lelaki), dua kanak-kanak (perempuan), 13 dewasa (wanita) dan empat dewasa (lelaki).
Sementara itu, 61 mangsa telah diselamatkan, sembilan lagi masih tidak ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan sehingga kini.