Tanah runtuh: Tiada penemuan baharu hari ketiga SAR

Iklan
Papan informasi Jabatan Bomba dan Penyelamat berkenaan kronologi insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Tiada penemuan baharu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di laluan Batang Kali-Genting Highlands pada hari ketiga, setakat 6 petang ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, operasi SAR bagi mencari dan menyelamat sembilan mangsa yang masih hilang dalam bencana itu ditangguhkan sementara petang ini ekoran faktor cuaca.

Iklan
Iklan

Terdahulu, Norazam berkata, operasi SAR bermula 9 pagi tadi menggunakan jentera pengaut yang dijalankan secara berperingkat serta perlahan bagi mengelakkan terkena mayat tertimbus dalam insiden runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya.

Beliau berkata, pada peringkat awal, pihaknya akan mengorek dan mengeluarkan tanah runtuhan sedalam tiga atau empat kaki untuk memudahkan mayat mangsa dikesan.

Iklan

"Selepas itu pasukan penggalian akan berhenti dan membuat pemeriksaan sama ada melalui unit anjing pengesan (K9) atau secara manual. Jika tiada tanda-tanda menunjukkan mayat, kami akan teruskan penggalian namun secara perlahan untuk elak mayat terkena dengan pengaut jentera tersebut,” katanya.

Norazam berkata, proses penggalian tanah runtuhan juga dipantau seorang anggota pasukan penyelamat yang memberi panduan dan arahan mengenai cara penggalian dilakukan, selain lapan unit jentera pengaut digerakkan ke lokasi setakat pagi tadi dan berkemungkinan ditambah mengikut kesesuaian.

Iklan

Operasi SAR itu diperkuatkan lagi dengan penggunaan dua mesin Ground Penetrating Radar bagi membantu mengesan lokasi mayat dan juga mengukur ketebalan tanah runtuhan yang berlaku ke atas mangsa.

Menurutnya, Ground Penetrating Radar daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu digunakan oleh dua pasukan yang ditempatkan di Sektor A (Hillview) dan Sektor C (Riverside) di lokasi kejadian.

Selain itu, katanya, setakat ini terdapat 11 ekor anjing pengesan diatur gerak membantu operasi dengan enam daripadanya milik JBPM, empat (Polis Diraja Malaysia) dan seekor (Angkatan Tentera Malaysia).

Kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas, telah mengorbankan 24 daripada keseluruhan 94 mangsa setakat petang semalam, manakala 61 orang selamat dan sembilan masih hilang.

Norazam - Foto Bernama

Sementara itu, Nadma menerusi kenyataan memaklumkan proses bedah siasat bagi 24 mayat selesai dijalankan dengan menggunakan kombinasi tiga kaedah iaitu pengecaman data asid deoksiribonukleik (DNA), cap jari dan pengecaman pihak waris pada wajah atau barangan peribadi serta tanda unik pada anggota badan mangsa.

Menurut Nadma, identiti tiga daripada 24 mangsa yang meninggal dunia sedang dikenal pasti melalui kaedah tersebut manakala tiga daripada lapan mangsa terselamat masih menerima rawatan di hospital iaitu seorang lelaki di Hospital Kuala Lumpur dan seorang lelaki serta seorang perempuan di Hospital Selayang.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, pihak polis telah memanggil pengusaha tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dan dua pekerjanya bagi membantu siasatan berhubung tragedi tanah runtuh itu.

Beliau berkata, lelaki tempatan berusia 50-an dan dua pekerja lelaki berusia lingkungan 30-an itu, hadir di Ibu Pejabat Daerah Hulu Selangor petang semalam, malah berkemungkinan memanggil pihak lain yang terlibat untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tapak perkhemahan berkenaan diusahakan tanpa lesen kebenaran beroperasi daripada Majlis Daerah Hulu Selangor. - Bernama