SUNGAI SIPUT - Kerajaan Perak akan menggubal enakmen baharu membabitkan aspek keselamatan penginapan dalam industri pelancongan bagi menjamin keselamatan pengusaha serta pengunjung.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, enakmen itu bagaimanapun masih di peringkat perbincangan melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri.
"Kerajaan negeri dalam proses menggubal enakmen bagi menjaga keselamatan bukan sahaja kawasan perkhemahan tetapi rumah tumpangan, inap desa, hotel dan sebagainya.
"Proses ini melibatkan PBT dan pemain industri pelancongan dan lain-lain. Aspek ini ditekankan kerana masa dahulu tiada satu undang-undang berkaitan dibuat.
"Enakmen ini akan memberi satu jaminan buat pengunjung dan pengusaha bukan sahaja keselamatan diri malah harta benda," katanya ketika ditemui pada Jamuan Perpaduan Rakyat di Arena Square Sungai Siput di sini pada Ahad.
Hadir sama Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Menurut Sze Yee, beliau menjangkakan enakmen itu akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun hadapan.
Ditanya mengenai usaha pemantauan tapak perkhemahan berisiko di seluruh negeri, beliau yang juga ADUN Jalong memaklumkan perkara itu kini di bawah kendalian PBT selaras dengan arahan yang dikeluarkan Kerajaan Persekutuan.
Beliau bagaimanapun menasihatkan pengusaha tapak perkhemahan atau kawasan rekreasi melakukan pemeriksaan dua kali bagi menjamin keselamatan sekeliling.
"Apa yang kita tahu selamat dahulu (keadaan) tidak mencerminkan keselamatan kini tambahan tahun ini kita menerima taburan hujan yang tinggi.
"Saya syorkan pengusaha yang ada walaupun dikatakan tempat mereka selamat dapat melakukan pemeriksaan dua kali sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.
Pada Jumaat, negara dikejutkan dengan satu kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang melibatkan 94 individu iaitu 80 pengunjung dan 14 pekerja Father's Organic Farm.
Seramai 61 mangsa ditemui selamat, 24 meninggal dunia dan sembilan mangsa dilaporkan masih hilang.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada hari ketiga diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama empat agensi lain.