SUNGAI BULOH - Mayat 24 individu yang ditemui dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor telah dikenal pasti dan dituntut waris.
Terbaharu, tiga mayat terakhir dibawa keluar dari Hospital Sungai Buloh menaiki tiga van jenazah tepat jam 9 malam.
Ketiga-tiga mereka adalah ahli keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun.
Namun demikian, menurut waris, Mary, 58, masih terdapat seorang lagi ahli keluarga iaitu kanak-kanak perempuan berumur enam tahun masih belum ditemui.
Pada Jumaat, negara dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor melibatkan seramai 94 individu iaitu 80 pengunjung dan 14 pekerja Father's Organic Farm.
Setakat jam 8 malam Ahad, sejumlah 24 mangsa meninggal dunia berjaya dikeluarkan daripada tempat kejadian, terdiri daripada lima kanak-kanak (lelaki), dua kanak-kanak (perempuan), 13 dewasa (wanita) dan empat dewasa (lelaki).
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih gagal mengesan sembilan mangsa yang masih hilang.
Beliau berkata, tiada mangsa berjaya ditemui setakat jam 7 petang berikutan keadaan tanah di lokasi kejadian yang lembut menyukarkan pergerakan usaha mencari.
Bagaimanapun ujarnya, usaha pengesanan masih diteruskan walaupun hujan renyai.