SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa hutang rasmi negara telah meningkat kepada RM785.2 bilion, hari ini.
Katanya, Bank Negara melaporkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah meminjam RM3.5 bilion lagi pada minggu lepas.
"Tambah lagi ke atas RM3.5 bilion yang dipinjam pada minggu pertama bulan April ini.
"Ini bermakna hutang rasmi negara telah meningkat RM98.4 bilion di bawah kerajaan PH. Belum masuk lagi RM82 bilion yang dijarah dari Petronas oleh PH," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Pada 4 April lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, peratusan hutang negara berkurang berikutan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan penyelesaian beberapa hutang.
Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di persidangan Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai usaha dan tindakan kerajaan mengurangkan hutang kepada RM686 bilion daripada RM1 trilion.
Perdana Menteri yang menjawab persoalan Ahmad mengenai jumlah hutang yang kini didakwa meningkat kepada RM773 bilion berkata:
"Pada mulanya kita kaji dan dapati, ia lebih RM1 trilion. Ini adalah satu angka besar sekarang, KDNK negara meningkat. Apabila KDNK meningkat, peratusan hutang kurang.
Kedua, apabila kita selesai beberapa hutang, maka hutang sudah kurang. Ia tidak lagi menjejaskan usaha kita mentadbir dan membangunkan negara," katanya.