JURULATIH termuda di Piala Dunia 2022, Lionel Scaloni mendedikasi kejuaraan yang diraih di bumi Qatar sebagai hadiah buat rakyat Argentina.
Pengendali berusia 44 tahun itu menjadi perancang di sebalik kejayaan Argentina menewaskan Perancis 4-2 menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 3-3 sehingga masa tambahan dalam aksi final awal pagi Isnin.
Scaloni berkata, kejayaan itu perlu dinikmati sepenuhnya oleh seluruh rakyat negara tersebut selepas kali terakhir Argentina memenanginya 36 tahun lalu.
Argentina mendahului dua jaringan pada separuh masa pertama dan 3-2 ketika berbaki seminit sebelum tamat masa tambahan menerusi dua gol Lionel Messi dan satu jaringan Angel Di Maria sekali gus meletakkan pasukan itu di ambang kejuaraan.
Bagaimanapun, hatrik Kylian Mbappe membolehkan Perancis kekal bersaing sehingga mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
Penjaga gol, Emiliano Martinez muncul wira apabila menyelamatkan sepakan penalti Kingsley Coman dan Gonzalo Montiel.
Kesemua empat sepakan penalti disempurnakan dengan baik untuk memberikan kejuaraan ketiga buat Argentina selepas kali terakhir mendiang Diego Maradona membantu pasukan itu memenanginya pada 1986.
"Inilah yang berlaku hari ini (Isnin), mereka (Perancis) bertindak balas dan pujian perlu diberikan kepada mereka," ujar Scaloni.
Pengendali berusia 44 tahun itu turut membimbing Argentina memenangi Copa America tahun lalu sekali gus menamatkan penantian 28 tahun untuk trofi utama.
"Secara keseluruhannya, ia adalah satu pencapaian yang luar biasa untuk berada di puncak, ia adalah sesuatu yang unik," katanya.
Scaloni turut memberi penghormatan kepada kedua ibu bapanya.
"Mereka mengajar saya untuk tidak berputus asa dan tidak menentang orang lain sebaliknya terus bergerak ke hadapan. Hari ini, ia membuahkan hasil.
"Saya bertuah berada di sini dan berterima kasih kepada semua," katanya.