JPS ramal banjir di Sungai Melikai, Mersing tengah hari ini

Iklan
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan berlaku banjir di Sungai Melikai dan kawasan sekitarnya di daerah Mersing bermula 12 tengah hari Isnin.

Menerusi amaran banjir yang dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS pada jam 9 pagi Isnin, jabatan berkenaan memaklumkan ramalan itu susulan amaran hujan berterusan (bahaya) oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada 10 malam tadi dan hasil simulasi model ramalan banjir.

Iklan
Iklan

Menurut JPS, bencana itu diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada masa yang dijangkakan.

"Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir,” katanya.

Iklan

Sementara itu, dua sungai di daerah Segamat iaitu Sungai Lenik (Ladang Chaah) dan Sungai Muar (Buloh Kasap) menunjukkan paras air berada pada paras amaran, setakat 8.15 pagi Isnin.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai diminta melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir. - Bernama

Iklan