GEORGETOWN - Sebuah bot nelayan asing ditahan sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang dalam Op Tanjung yang dijalankan pada Ahad.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot milik warga Indonesia itu ditahan di kedudukan 26 batu nautika barat Pulau Kendi pada jam 11 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati, bot terbabit berpangkalan di Pantai Labu, Sumatera Utara dan dikendalikan oleh empat kru warga Indonesia berusia lingkungan 35 hingga 50 tahun.
"Ketika pemeriksaan, kita mendapati keempat-empat nelayan asing tersebut tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.
"Mereka disyaki telah melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia. Kes turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, bot serta kru ditahan selain hasil laut turut disita untuk siasatan lanjut.
"Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia," katanya.
Tambahnya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang awak boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau talian kecemasan MERS 999.