SUNGAI BULOH - Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh yang terlibat untuk proses bedah siasat mayat mangsa tragedi tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali kelihatan lengang setakat jam 11 pagi.
Ia susulan kesemua 24 mayat yang ditemui telah selesai di bedah siasat dan dituntut waris mangsa.
Hanya pengamal media masih berada di jabatan berkenaan sementara tiada kelibat keluarga mangsa kelihatan.
Pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi pada Ahad, tiada penemuan baharu dilaporkan.
Operasi SAR dihentikan beberapa kali susulan cuaca hujan sebelum ditamatkan awal pada jam 8. 15 malam.
Operasi mencari sembilan lagi mangsa yang dilaporkan hilang diteruskan pada Isnin seawal jam 8 pagi.
Bantuan anjing pengesan (Unit K9), jengkaut serta ground penetrating radar (GPR) turut digunakan bagi membantu operasi mengesan mangsa.
Setakat kini, 61 mangsa terselamat, 24 meninggal dunia dan sembilan lagi mangsa dilaporkan masih hilang.