KOTA BHARU - Sepuluh hospital di Kelantan termasuk Hospital Universiti Sains Malaysia masih beroperasi seperti biasa dan tidak terjejas dengan banjir, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin.
Beliau berkata, sebagai persiapan semua hospital telah dipastikan untuk menyediakan bekalan asas bagi memastikan mampu beroperasi dalam situasi bencana banjir.
"Sekiranya terdapat hospital yang kemungkinan terputus hubungan jalan raya disebabkan banjir, bantuan sumber atau pemindahan pesakit boleh dilaksanakan dgn bantuan udara. Kami telah mengenal pasti tempat bagi pendaratan helikopter sekiranya diperlukan.
"Malah, persiapan kami bagi pesakit kritikal yang memerlukan rawatan lanjut, mereka akan pindah lebih awal di hospital yang tidak terjejas banjir," katanya ketika dihubungi Bernama, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, apabila musim banjir berlaku terdapat beberapa petugas kesihatan yang tidak boleh bertugas berikutan kediaman mereka dinaiki air, laluan ke tempat bertugas tersekat dan sebagainya namun ia tidak menjejaskan operasi di hospital terbabit.
Beliau berkata, bagi mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), pasukan kesihatan akan turut menjalankan aktiviti seperti memeriksa kebersihan persekitaran pusat pemindahan, memantau dan memeriksa kualiti air minum, menjalankan aktiviti pengklorinan dan disinfeksi bekalan air serta memeriksa kehadiran dan tempat pembiakan nyamuk aedes.
"Pasukan Kesihatan Mental dan Tindakan Psikososial pula akan menjalankan aktiviti seperti menjalankan kaunseling kepada mangsa banjir bagi kes-kes kematian, kehilangan harta benda, ibu hamil dan pesakit berisiko yang akan dipindah masuk ke hospital," katanya. - Bernama