PASIR PUTEH - Kreatif apabila seorang penduduk di Kampung Banggol Tiga Daerah, Bukit Abal di sini menggunakan plastik sebagai benteng bagi mengelak limpahan air banjir memasuki ke kawasan kediaman.
Suhaimi Mohamad, 50, berkata, idea asal itu dicetuskan oleh arwah bapa saudaranya kerana kediaman mereka sering ditenggelami air setiap kali musim tengkujuh.
"Buat benteng ini tidak sukar, hanya memerlukan plastik dan ia dipasang pada pagar rumah, kemudian disokong oleh papan dan batu bata bagi mengelakkan ia dihanyutkan air deras.
"Alhamdulillah setakat ini sudah tiga kali rumah kami terselamat daripada banjir," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, ramai yang terpegun dengan situasi tersebut sehingga pernah tular tahun lalu apabila hanya kediamannya sahaja tidak dilimpahi air.
Ujar Suhaimi terdapat lima buah rumah yang terlibat yang merupakan adik-beradiknya.
Katanya, banjir kali ini sedikit luar biasa apabila air deras dan banyak tidak seperti biasa.
"Jika hujan masih tidak berhenti kami bimbang air akan makin naik dan deras.
"Sehingga hari ini sudah tiga hari hujan tanpa henti menyebabkan jiran tetangga ada yang perlu berpindah," jelasnya.
.