[VIDEO] Annuar hormati keputusan personaliti tarik diri sertai MN

Iklan
Annuar Musa

SHAH ALAM - Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa menghormati perubahan pendirian beberapa personaliti yang menarik diri daripada menyertai pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskannya.

Sebagai NGO bebas kata Annuar, pendukungnya perlu komited, istiqamah dan apa yang penting adalah reda serta ikhlas dalam berkhidmat.

Iklan
Iklan

Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah sebelum ini mengumumkan menarik diri daripada menyertai MN atas faktor prinsip yang disifatkan tidak sesuai dengan dirinya.

Langkah sama turut diambil oleh pelakon, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abiddin yang memaklumkan keputusannya itu dalam satu hantaran dimuat naik di Instagramnya.

Iklan

Annuar yang merupakan bekas Ahli Parlimen Ketereh turut menggesa agar perkara berkenaan tidak perlu dimomokkan.

"Datuk Jamal Abdillah sahabat baik saya. Kami berkomunikasi hampir setiap hari. Ummi Nazeera umpama anak saya sendiri. Keluarga kami seperti adik-beradik. Kerjaya mereka semua lebih penting," ujarnya.

Iklan

Beliau juga mengakui MN akan melalui pelbagai cabaran sambil menyifatkan tohmahan dan fitnah merupakan asam garam dalam kehidupan.

"Yang penting kita jujur dan ikhlas. Mungkin saya juga ada kesilapannya dalam mengumumkan nama-nama ahli dewan tertinggi (ADT) terlalu awal. Kita manusia biasa, tentu ada kekurangannya.

"Masih ramai kumpulan industri kreatif dan seniman yang telah menyertai MN. Kita tetap menyediakan sekurang-kurangnya dua wakil dari industri kreatif dalam ADT. Biarlah penglibatan mereka diketahui bila tiba masa sesuai," jelasnya.