Johari ikrar galas tugas Speaker baharu Dewan Rakyat

Iklan
Johari Abdul mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Datuk Johari Abdul berikrar akan memenuhi amanah yang dipertanggungjawabkan sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu dengan jujur dalam melaksanakan prosiding dan urusan dewan.

Beliau yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Sungai Petani yakin dengan pengalamannya sebagai bekas Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli perniagaan berupaya membantunya melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

Iklan
Iklan

"Justeru, saya memohon semua Ahli Dewan Rakyat menghormati kerusi Yang Dipertua dengan memberi penghormatan dan kepercayaan kepada saya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, bukan atas dasar kapasiti peribadi tetapi, sebagai individu yang dipilih menduduki kerusi ini dan diberi tanggungjawab dalam segala prosiding serta urusan dalam dewan yang mulia ini.

"Oleh itu jadikan Dewan ini sebagai sebuah platform menyampaikan teguran yang membina dan menyampaikan pendapat-pendapat molek dan bernas. Hendaklah menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama dan tidak menggunakan dewan yang mulia ini sebagai medan politik kumpulan mahupun individu,” katanya ketika menyampaikan ucapan pertama selepas dilantik ke jawatan itu di Dewan Rakyat pada Isnin.

Iklan

Dalam pada itu, Johari turut merakamkan penghargaan dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana kerajaan yang terbentuk pada hari ini adalah dengan titah perkenan Seri Paduka Baginda.

"Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada seluruh pengundi kerana menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia pada kali ini dalam mencorakkan kepimpinan negara.

Iklan

"Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini juga menyaksikan pembabitan golongan anak muda seawal umur 18 tahun sebagai pengundi yang memberi impak peningkatan besar peratusan pengundi keluar mengundi buat julung kali dalam sejarah PRU, sekali gus turut memberi sumbangan penting dalam membentuk hala tuju negara," katanya.

Terdahulu, Johari yang dicalonkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat baharu menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Beliau memperoleh 147 undi manakala pencabarnya, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad hanya memperoleh 74 undi.