KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan telah mengenal pasti beberapa kawasan 'hotspot' di negeri itu bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku apabila berlakunya hujan lebat berterusan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri juga telah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenal pasti kawasan terbabit yang perlu diberi keutamaan dan perhatian segera bagi mengurangkan kesan banjir.
"Namun, projek itu belum lagi dimulakan dan mungkin tahun depan baru mula sebab sekarang ini sudah hujung tahun. Biasa hujung tahun, tidak ada kontrak dan sebagainya dibuat," katanya kepada pemberita selepas menziarahi mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tapang, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, selain faktor cuaca, masalah perparitan kurang terurus antara punca berlakunya peningkatan mangsa banjir di Kelantan termasuk di kawasan yang tidak pernah dinaiki air.
"Banjir kali ini agak luar biasa mungkin kerana taburan hujan lebat yang banyak dalam tempoh singkat sehinggakan ada beberapa kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air, turut terjejas seperti di Panji, Kota Bharu,” katanya.
Selain itu, katanya, terdapat beberapa kawasan, penduduk didapati membuang sampah sehingga menyebabkan parit tersumbat. - Bernama