SHAH ALAM - Wisma Putra memaklumkan masih tiada keperluan untuk mengeluarkan notis nasihat perjalanan kepada rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas banjir di wilayah Songkhla, Thailand meliputi bandar raya Hatyai.
Bagaimanapun, kementerian itu memaklumkan Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla (Malawakil Songkhla) sedang giat membantu rakyat Malaysia yang terkesan dengan situasi bencana itu untuk keluar dari wilayah berkenaan.
"Malawakil Songkhla juga berhubung rapat dengan Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (Tourism Authority Thailand-TAT) dan polis pelancong untuk mengenal pasti rakyat Malaysia yang terkesan serta memerlukan bantuan,” menurut Wisma Putra kepada Sinar Harian pada Isnin.
Media Thailand pada Ahad melapokan hujan lebat berterusan selama dua hari menyebabkan banyak jalan raya yang menghubungkan daerah di Wilayah Songkhla, Thailand termasuk Hat Yai yang menjadi tumpuan pelancong Malaysia dilanda banjir.
Turut dilaporkan ditutup pada pagi semalan adalah jalan lama antara daerah Muang dan Hat Yai.
Selain itu, banyak bahagian jalan raya, termasuk di Ban Khuan Hin dan Ban Bangkhan, dinaiki air dan tidak dapat dilalui kenderaan kecil.
Menurut laporan itu, orang ramai yang melakukan perjalanan antara kedua-dua daerah dinasihatkan supaya mengelak jalan lama dan mengambil lebuh raya yang lebih baharu iaitu Jalan Lopburi Ramet.
Di daerah Rattaphum, jalan dari pekan daerah ke persimpangan Khuha turut dinaiki air.
Pemandu yang dalam perjalanan dari Satun ke Rattaphum dinasihatkan untuk menggunakan lebuh raya lama Phetkasem.