KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Noor dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau dipilih sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat pada Isnin.
Keputusan itu diumum Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul sebaik selesai pengundian secara bersurat oleh semua Ahli Parlimen.
Kedua-dua calon yang mewakili blok kerajaan itu masing-masing memperoleh 148 undi (Ramli) dan 146 undi (Alice).
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan cadangan mencalonkan Ramli dan Alice seterusnya mendapat sokongan daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Petrajaya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Selain itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut mencadangkan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermiyati Samsuddin dan mendapat sokongan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Amzad Hashim.
Mas Ermiyati memperoleh 74 undi selepas selesai pengundian.
Sebelum ini Sinar Harian pada Mac lalu melaporkan, Ramli yang dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat pada mesyuarat penggal sebelum ini muncul wakil rakyat komuniti orang asli pertama dilantik ke jawatan berkenaan.