SHAH ALAM - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan segera bagi menyiasat isu berkaitan skandal Tabung Haji (TH).
Ketua Pemuda Umno Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail berkata, siasatan ini penting supaya rakyat dapat mengetahui siapa yang benar dan salah serta kedudukan sebenar pengurusan TH.
Menurutnya, Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja perlu segera dilaksanakan bagi campur tangan terhadap penyelesaian isu TH, biarlah Majlis Raja-Raja yang menentukan hala tuju penyiasatan terhadap TH.
"Kami juga merasakan, adalah tidak adil isu TH ini dinilai dan dihakimi di dalam media massa tanpa siasatan mendalam sehingga ke akarnya bagi menentukan benar atau salah terhadap pengurusan TH sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Norhiesam berkata, Pemuda Umno Nibong Tebal juga tidak bersetuju dan menentang keras sama sekali penjualan aset TH bernilai RM 19.9 bilion kepada sebuah syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan yang diketuai oleh Lim Guang Eng bagi menampung liabiliti Tabung Haji
"Nampak begitu mudah dan cepat pengurusan Kerajaan PH seperti ada sesuatu agenda dengan penyelesaiannya adalah senang dengan menjual aset bagi menutup masalah negara.
"Peliknya semua GLC (syarikat berkaitan kerajaan) atau badan yang berkaitan terhadap Melayu dan Islam adalah rugi dan penyelesaian utama adalah menjual aset seperti yang berlaku kepada Felda dan TH,” katanya.
Mohd Norhiesam memberitahu, Kerajaan PH perlu menghentikan tabiat mencari salah orang dan ingin mendapatkan populariti murahan sedangkan tuduhan terhadap TH belum tentu benar dan ia siasatan mendalam.
"Fokuslah kepada masalah rakyat yang semakin meruncing seperti masalah pembayaran elaun terhapa peneroka Felda, petani, nelayan dan sebagainya serta mengadakan usaha meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara,” katanya.
"Kerajaan PH juga tidak perlulah hanya pandai menundung jari kepada orang lain sahaja, isu wang Tabung Harapan entah kemana?"Adakah rakyat akan terus kena ‘kencing’ lagi bagi menutup kesalahan dan kelemahan kerajaan PH?,” soalnya lagi.