SHAH ALAM - Perbicaraan kes saman fitnah Delegation of Nurses (DON) terhadap penyanyi dan pelakon, Linda Rafar atau nama sebenar Azlinda Abdul Rafar di Mahkamah Sesyen di sini berlangsung selama tiga hari, bermula Isnin.
Menerusi satu kenyataan media, Firma Pengurusan Krisis, ‘Public Relations And Communications’, Saiful Ridzuan berkata, Presiden DON selaku plaintif memfailkan saman pada Jun 2019, dengan menamakan Linda, 44, sebagai defendan pertama dan sebuah syarikat penerbitan media, defendan kedua.
Katanya, plaintif mendakwa kenyataan yang dibuat oleh Linda dan diterbitkan defendan kedua dalam satu artikel pada 29 Mac tahun sama, adalah fitnah.
Namun dua bulan kemudian, Linda telah menjawab surat tuntutan dengan menegaskan bahawa, dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang didakwa.
"Linda telah menjadi mangsa fitnah yang dilakukan melalui pembulian siber bertujuan menyebarkan pembohongan bagi memusnahkan kerjayanya," kata kenyataan itu.
Sementara itu, peguam, Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili Linda, menyifatkan anak guamnya telah menjadi mangsa tuduhan palsu.
Bukan itu sahaja, beliau berkata, Linda pernah menerima ugutan bunuh akibat isu yang tular itu.
Pada Mei 2019, saman fitnah seorang jururawat di Hospital Kuala Lumpur terhadap Linda, telah diselesaikan secara baik.