BATANG KALI - Lapan ekor anjing Unit Anjing Pengesan (K9) direhatkan seketika akibat kepenatan selepas terlibat dalam operasi mencari baki mangsa tanah runtuh di Father's Organic Farm, Jalan Genting, di sini pada Isnin.
Daripada jumlah itu, enam ekor adalah milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) manakala dua lagi milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kesemua K9 itu dilihat menjadi tumpuan apabila 'lagaknya' sering dinantikan petugas media.
'Hero' itu itu keluar dengan diiringi pengawalnya kira-kira jam 4 petang.
Untuk info, operasi pencarian telah memasuki hari keempat dan setakat jam 4.45 petang, masih tiada sebarang perkembangan mengenai penemuan mangsa.
Pada Ahad, Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, operasi pencarian baki mangsa yang dikhuatiri tertimbus tanah runtuh menggunakan khidmat K9 bomba, PDRM serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Anjing K9 ini adalah terlatih dan khusus untuk mencari mayat.
Antara keupayaan K9 ini mampu mengesan di kedalaman kira-kira tiga hingga empat meter di dalam tanah.