KUALA LUMPUR - Malaysia berisiko menjadi muflis seperti yang berlaku di Sri Lanka sekiranya gagal mengurus hutang negara yang semakin meningkat ketika ini dengan betul dan rapi.
Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) berkata, hutang negara pada tahun ini telah mencecah RM1.12 trilion dalam tempoh empat tahun berbanding hanya RM686 bilion pada tahun 2017.
"Saya cuma hendak tekankan satu perkara sangat penting (dan) perkara ini kalau tidak diurus dengan betul dan teratur ia akan menjejaskan negara dalam masa lima atau 10 tahun akan datang.
"Negara kita telah meminjam duit lebih RM1 trilion (sedangkan) pada tahun 2017 kita hanya berhutang RM686 bilion tetapi dalam masa empat tahun hutang bertambah hampir RM400 bilion hingga mencecah RM1.2 trilion.
"Paling membimbangkan saya ialah pada tahun 2017 kita hanya bayar faedah RM27.9 bilion tetapi pada tahun 2022 bayaran itu mencecah RM43 bilion.
"(Jadi), kalau kita tidak urus perkara ini dengan betul dan rapi, nasib yang akan menimpa kerajaan Malaysia ini tidak berbeza seperti mana yang kita lihat berlaku di Sri Lanka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Tambah Johari yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan II, Malaysia juga jauh ketinggalan dalam menarik pelaburan asing berbanding negara jiran terutamanya Indonesia.
Ujarnya, keadaan ini turut didorong oleh ketidakstabilan politik negara dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
"Apa yang saya hendak tekankan walaupun global kompetitif indeks kita lebih baik tetapi jumlah pelaburan yang dapat diambil oleh Indonesia dalam masa empat tahun itu lebih baik dan lebih tinggi daripada Malaysia.
"Keadaan ini berlaku disebabkan kita tidak dapat menyediakan kestabilan politik di mata pelabur yang datang ingin melabur di negara kita,” katanya.