SINGAPURA - 'Perogol berusia 50 tahun ke atas tidak wajar dikecualikan daripada hukuman sebat'.
Cadangan itu diutarakan Presiden Singapura, Halimah Yacob pada Isnin menerusi perkongsian beliau di Facebook ketika menzahirkan kekecewaannya terhadap kes kanak-kanak yang menjadi mangsa nafsu serakah di rumah sendiri.
Di bawah Kanun Keseksaan Singapura, perogol yang disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan didenda atau disebat.
Bagaimanapun, individu berusia 50 tahun ke atas tidak boleh disebat dan digantikan dengan hukuman penjara lebih lama.
Pada September 2021, anggota Parlimen pernah mencadangkan had umur untuk hukuman sebat dinaikkan.
Murali Pillai (PAP-Bukit Batok) berpendapat tidak wajar melindungi pesalah seks secara berulang memandangkan individu itu jelas cukup sihat untuk melakukan perbuatan keji tersebut.
Menteri Undang-undang, K Shanmugam pula berkata, tiada sebab untuk menaikkan had umur untuk hukuman sebat atas alasan jumlah golongan lelaki berusia 50 tahun ke atas yang ditahan melakukan kesalahan serius adalah jauh lebih rendah.
Halimah sekali lagi mengutarakan idea sama setelah menilai keadaan semasa.
"Mereka boleh terlepas rasa sakit akibat disebat sedangkan perbuatan tidak senonoh yang dilakukan mereka meninggalkan trauma berpanjangan kepada mangsa.
"Dalam sesetengah kes, kejadian rogol itu sebenarnya berlaku lebih awal dan hanya dilaporkan setelah pelaku berusia 50 tahun.
"Sudah tiba masanya untuk kita menyemak semula undang-undang tersebut. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi golongan kanak-kanak," kata Halimah.
Pada minggu lalu, CNA melaporkan kes melibatkan seorang lelaki berumur 54 tahun yang dihukum penjara kerana mencabul anak perempuannya beberapa kali sejak mangsa berusia 10 tahun.
Pada November, seorang bapa mengaku cuba memperkosa anak perempuannya yang berusia empat tahun sebanyak dua kali dan satu lagi kes melibatkan seorang bapa durjana yang tergamak menodai anak sendiri ketika mangsa berumur 12 tahun.
"Saya dapati kes rogol melibatkan ahli keluarga lelaki sendiri semakin membimbangkan. Kita perlu lindungi anak-anak kita daripada pemangsa seksual seperti itu," tegasnya lagi.
Menerusi perkongsian di Facebook itu juga, Halimah berharap pertubuhan tempatan yang menangani kes keganasan rumah tangga seperti PAVE dapat berkerjasama dengan agensi kerjaaan untuk mencari kaedah efektif bagi melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa penderaan seksual di rumah. - Agensi