Bajet mini ditunggu rakyat

Iklan
Bajet mini dijangka dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Bajet mini yang dijangka dibentangkan esok oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat ditunggu-tunggu oleh segenap rakyat Malaysia kerana ia akan melakarkan hala tuju negara pada tahun depan.

Sudah pasti dasar dan polisi yang bakal diperkenalkan diharap dapat memberi manfaat kepada semua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Iklan
Iklan

Umum sedia maklum bahawa tahun 2023 merupakan tahun yang sangat mencabar dan masih dalam proses pemulihan ekonomi rakyat dan negara.

Kenaikan kos sara hidup, kejatuhan nilai ringgit, sekuriti makanan, jaminan pekerjaan dan pelaburan langsung asing (FDI) membuatkan rakyat terbeban dari semasa ke semasa.

Iklan

Bajet mini ini seolah-olah memberi sinar buat rakyat tidak kira lapisan masyarakat, golongan peniaga atau bukan, semua tidak sabar menunggu untuk melihat usaha kerajaan dalam membantu mereka.

Bagi Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pula, wajar sekiranya kerajaan mengekalkan inisiatif untuk penjawat awam yang telah diumumkan semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-18 pada 30 Ogos dan pembentangan Bajet 2023, 7 Oktober lalu.

Iklan

Ia seperti Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Khas RM100 dan Bantuan Khas Kewangan RM700 mulai Januari 2023.

Turut termasuk Bantuan Khas Kewangan untuk pesara berjumlah RM350 dan Bantuan Khas Aidilfitri RM600 mulai Mac 2023.

Sementara itu, Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Yeah Kim Leng berpendapat, Kerajaan Perpaduan Malaysia dijangka menyemak semula Bajet 2023 dan semakan separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 untuk mencerminkan sebanyak mungkin janji manifesto dalam kempen parti gabungan Anwar sambil menampung atau mengimbangi apa yang dibentangkan sebelum ini.

Oleh itu, pembentangan bajet mini yang membabitkan peruntukan berjumlah hampir RM56 bilion itu perlu segera diluluskan oleh Dewan Rakyat bagi memastikan belanjawan mengurus kerajaan awal tahun depan dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Jika tidak, ia akan memberi kesan yang amat besar kepada rakyat.

Kerajaan tidak dapat menjalankan urusan pentadbiran negara, pembayaran gaji kakitangan awam dan usaha berkaitan pembangunan serta memulihkan keadaan ekonomi akan bermasalah.