Selamat menjalankan tugas YB!

Iklan
Suasana di dalam Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Majlis Parlimen ke -15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. Foto Bernama

SEKALUNG tahniah Merak Jalanan ucapkan kepada Datuk Johari Abdul apabila dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu.

Tahniah juga buat semua 222 ahli Parlimen yang telah mengangkat sumpah di Dewan Rakyat.

Iklan
Iklan

Dengan terlafaznya angkat sumpah itu, sudah tiba masanya mereka yang dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat fokus dengan khidmat bakti kepada negara. Ini masanya untuk anda semua – ahli-ahli Yang Berhormat (YB) bekerja.

Tolak tepi perbezaan politik buat sementara waktu. Blok kerajaan dan pembangkang perlu sama-sama berganding bahu serta bekerjasama mencari penyelesaian sewajarnya untuk menangani isu-isu yang melanda negara.

Iklan

Paling penting, jangan lupa janji-janji yang ditaburkan kepada pengundi. Sebaik sahaja dipilih sebagai wakil rakyat, tunaikanlah janji-janji tersebut.

Bagi kalangan ahli Parlimen mahukan Senator yang dipilih menganggotai kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, galas dan jalankan tanggungjawab dengan penuh jujur serta amanah.

Iklan

Harus diingat, tugas anda jauh lebih berat berbanding ahli-ahli Parlimen yang tidak berada dalam kabinet Kerajaan Perpaduan. Banyak perkara yang harus diuruskan, khususnya berkaitan kos sara hidup rakyat.

Satu pesan Merak Jalanan – tolong belajar daripada pegawai-pegawai kerajaan mengenai bidang kuasa dan tugas di kementerian masing-masing.

Tak perlu berasa malu untuk bertanya jika ada sebarang kemusykilan.

Anda tidak akan tahu segala-galanya mengenai tugas apabila dilantik menjadi menteri atau timbalan menteri. Jadi sebaik-baiknya rujuk dahulu dengan pegawai-pegawai di kementerian masing-masing.

Kini ‘bola’ sudah berada di kaki YB, terpulang kepada anda dalam mengatur langkah dengan kemas dan tersusun. Hati-hati jangan sampai tersilap langkah kerana rakyat sedang memerhati anda.