Benzema umum persaraan di pentas antarabangsa

Iklan
Benzema membuat ciapan di Twitter mengumumkan persaraan daripada arena bola sepak antarabangsa. - Foto Twitter Karim Benzema

PEMENANG Ballon d'Or, Karim Benzema mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa berkuatkuasa lewat malam Isnin.

Keputusan dibuat selepas penyerang Real Madrid itu terlepas peluang membantu Perancis di pentas Piala Dunia Qatar 2022 akibat kecederaan.

Iklan
Iklan

Hasrat persaraan itu diumum di akaun Twitter rasmi penyerang tersebut sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-35.

Dalam ciapan di Twitter, Benzema menyatakan telah bekerja keras untuk meraih kejayaan bersama kelab dan pasukan Perancis.

Iklan

"Saya telah menulis kisah saya dan cerita kami (bersama pasukan Perancis) telah berakhir," ciap beliau.

Tidak dapat dipastikan punca Benzema membuat keputusan demikian.

Iklan

Bagaimanapun wujud pelbagai spekulasi dan laporan bahawa penyerang Madrid itu mempunyai hubungan dingin dengan pengendali Les Bleus, Didier Deschamps.

Ia termasuk dakwaan jurulatih itu tidak memanggilnya semula untuk menyertai skuad kebangsaan selepas Perancis melepasi peringkat kumpulan di Qatar, biarpun dia sudah pulih daripada kecederaan.

Benzema membuat 97 penampilan bersama Perancis dan meledak 37 gol.

Pada aksi final di Stadium Lusail awal pagi Isnin, Perancis terlepas peluang mempertahankan kejuaraan setelah tewas 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Argentina.

Terikat 3-3 pada perlawanan yang berlarutan ke masa tambahan, menyaksikan Lionel Messi mengemudi Argentina untuk merangkul gelaran ketiga selepas memenanginya pada edisi 1978 dan 1986.