Usaha pulihara orang utan Borneo

Iklan
Pengurus Besar MPOGCF, Zamakhshari Muhamad (dua dari kanan) bergambar bersama warga MPOGCF dan Zoo Negara pada Majlis Penyerahan Cek Penajaan MPOGCF bagi menaik taraf Pameran Orang Utan Borneo di Pusat Ape di Zoo Negara pada Sabtu.

MPOGCF taja RM1.1 juta kepada Zoo Negara

Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) memberi tajaan berjumlah RM1.1 juta bagi menaik taraf pameran orang utan Borneo di Zoo Negara sekali gus membantu usaha terhadap pemuliharaan haiwan tersebut.

Pengurus Besarnya, Zamakhshari Muhamad berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan MPOGCF untuk memulihara orang utan dengan mempromosikan konsep ‘Living Together in Harmony’ yang diperkenalkan pada awal Ogos lalu.

Iklan
Iklan

Ujarnya, konsep itu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai spesies hidupan liar yang terancam perlu dilindungi melalui kempen ‘The Other Malaysians’.

"Objektif pertama adalah membantu Zoo Negara menyediakan kemudahan kondusif untuk orang utan Borneo sekali gus menyampaikan mesej tentang keprihatinan industri sawit pada hidupan liar di Malaysia.

Iklan

"Menerusi tajaan RM1.1 juta membolehkan Zoo Negara membuat penambahbaikan infrastruktur, pemulihan dan pemuliharaan bagi memastikan orang utan Borneo di Pusat Ape di Zoo Negara ini akan terus hidup dengan baik.

"Kita melakukan kerjasama dengan Zoo Negara selama dua tahun. Selain penajaan, kita mengadakan pelbagai program pendidikan bersama zoo untuk wujudkan kesedaran kepada orang ramai,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Penajaan MPOGCF bagi menaik taraf Pameran Orang Utan Borneo di Pusat Ape di Zoo Negara pada Sabtu.

Turut hadir, Presiden Zoo Negara, Datuk Zaharin Md Arif; Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Rahmat Amat Lana dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, Hairulazim Mahmud.

Tepat pada masa

Orang utan Borneo

Zamakhshari berkata, kerjasama dengan Zoo Negara tepat pada masanya kerana orang utan merupakan antara tiga hidupan liar yang dipilih menjadi ikon dan keutamaan MPOGCF untuk projek pemuliharaan selain gajah dan harimau Malaya.

"Kerjasama MPOGCF dan Zoo Negara ini merupakan kesinambungan kepada projek pemuliharaan orang utan yang sedang berjalan dan bakal dilaksanakan melalui pembiayaan MPOGCF.

"Salah satunya ialah Projek Pemuliharaan Habitat Orang Utan menerusi Program Penanaman Sejuta Pokok di kawasan hutan seluas 2,500 hektar di Lower Kawaq, Hutan Simpan Ulu Segama, Lahad Datu, Sabah,” ujarnya.

Tambahnya, projek 10 tahun itu telah bermula pada 2020 dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Sabah sebagai pihak pelaksana namun tergendala beberapa kali kerana pandemik Covid-19.

"Setakat ini, hampir 100,000 pokok pelbagai spesies telah berjaya ditanam. Projek ini telah mencipta peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” jelasnya.

Menurut Zamakhshari, MPOGCF turut menjalankan kaji selidik populasi orang utan di Sabah dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan bermula tahun hadapan.

Jelasnya, MPOGCF selaku agensi kerajaan yang menerajui pemuliharaan alam sekitar bertanggungjawab memperbetulkan tanggapan negatif terhadap industri sawit yang menjadi penyumbang utama ekonomi dan pembangunan negara.

"Populasi orang utan sering dikaitkan dengan sektor perladangan kelapa sawit di Malaysia. Persepsi negatif ini mengakibatkan industri minyak sawit menerima layanan tidak adil di peringkat antarabangsa.

"Sebenarnya, ancaman terbesar kepupusan orang utan ialah aktiviti pemburuan haram. Justeru, sebarang usaha yang menjejaskan kredibiliti industri ini di peringkat antarabangsa akan memberi kesan secara langsung kepada ekonomi negara,” katanya.

Biodiversiti negara

Katanya, kerjasama dengan Zoo Negara itu diharap dapat membantu industri sawit Malaysia dalam memupuk semangat dan kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga biodiversiti negara.

"Di samping mewujudkan ladang sawit yang mampan dan bersifat mesra hidupan liar, ia bertujuan untuk mengatasi konflik manusia dengan hidupan liar yang sering berlaku di ladang kelapa sawit.

"Kami juga berharap penajaan projek menaik taraf Pameran Orang Utan Borneo di Ape Centre berjumlah RM1.1 juta ini menjadi perintis kepada kerjasama lain pada masa hadapan termasuk penyelidikan,” tambahnya.

Sementara itu, Zaharin berterima kasih kepada MPOGCF atas sumbangan besar yang bertujuan meningkatkan infrastruktur di Zoo Negara.

"Kerjasama ini menggalakkan pemuliharaan spesies haiwan terancam itu,” ujarnya.

Murid Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Al-Ghazali, Rumah Kebajikan Pusat Jagaan Amal Asyura dan Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Annafi memeriahkan majlis berkenaan.

Majlis berkenaan dimeriahkan dengan kehadiran seramai 100 murid dari Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Al-Ghazali, Rumah Kebajikan Pusat Jagaan Amal Asyura dan Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Annafi.

Pelbagai program diadakan termasuk pertandingan mewarna #MPOGCFxZOONEGARA dan program khas bersama Jabatan Zoologi, Zoo Negara untuk mendidik golongan muda tentang pemuliharaan orang utan serta berkongsi maklumat mengenai tarikan dan aktiviti zoo.

Guru Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfi z Al-Ghazali, Bandar Saujana Putra, Siti Nur Atiqah Azman menyifatkan program itu bukan sahaja mengisi masa lapang murid ketika cuti persekolahan, namun mendidik mereka mengenai pemuliharaan haiwan terancam.

"Mereka seronok datang ke sini sambil dapat belajar tentang pemuliharaan orang utan dan pelbagai haiwan yang terdapat di Zoo Negara,” ujarnya.

Bermula 17 Disember lalu, dua pameran papan tanda yang ditaja oleh MPOGCF dapat dilihat oleh pengunjung Zoo Negara sebagai satu cara untuk memberi mesej positif dan mempromosikan inisiatif pemuliharaan orang utan yang dijalankan oleh industri minyak sawit Malaysia.