PERMATANG PAUH - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menganjurkan Karnival PTPTN Sempoi Baq Hang bagi memupuk semangat penabungan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada Sabtu yang lalu.
Penganjuran karnival secara on ground event dengan kerjasama Sinar Harian itu adalah bersempena Jubli Perak 25 tahun PTPTN. Karnival ini juga merupakan salah satu program promosi melalui pendekatan turun padang yang bertujuan mengeratkan hubungan dan mendekati masyarakat melalui aktiviti dan pertandingan yang menarik.
Ia juga sebagai kesinambungan kepada Peraduan Syoknya 25 Tahun PTPTN yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM15,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime. Penyertaan melalui dua platform iaitu akhbar Sinar Harian yang tamat pada 16 Disember lalu dan digital Sinar Harian pada 31 Disember ini.
Seramai 50 peserta terawal yang menghantar penyertaan semasa berlangsungnya karnival telah berpeluang memenangi hadiah berupa akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM100 dan hadiah eksklusif PTPTN.
Karnival turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti antaranya Pertandingan Kira Logo Jubli Perak 25 Tahun PTPTN, Pertandingan Mewarna Simpan SSPN, Pertandingan Puzzle Simpan SSPN, Pertandingan Action Song Simpan SSPN, Cabutan Sempoi Baq Hang dan banyak lagi.
Selain itu, karnival turut dimeriahkan dengan penyertaan 13 agensi pempamer seperti kaunter Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Bank Negara Malaysia, Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Zakat Pulau Pinang, produk makanan seperti A&W, Maggi dan Milo serta Van Kelab Simpanan Pendidikan.
Turut diadakan adalah penyampaian hadiah kepada dua pemenang Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN Cabutan Siri - Silver 2 yang menerima wang tunai berjumlah RM2,525 setiap seorang.
Pelancaran Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang
Pengerusi PTPTN, Dr. Apli Yusoff berkata, dalam memastikan identiti korporat PTPTN terus disegani dan memberi kepercayaan yang kukuh, agensi ini telah melaksanakan penjenamaan (rebranding) secara berperingkat bermula tahun 2020.
"Inisiatif ini selari dengan Pelan Strategik 2021-2025 yang turut menumpukan kepada usaha memperkasa organisasi ke arah yang lebih dinamik dan cemerlang melalui memperkasakan imej, budaya dan proses kerja melalui penjenamaan dan pendigitalan PTPTN.
"Pemilihan lokasi penganjuran karnival ini sangat bertepatan bagi menghebahkan kepada orang ramai tentang perpindahan Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang dari Seberang Jaya, Pulau Pinang ke lokasi baharu yang lebih strategik iaitu di Elevate Gravitas, Permatang Pauh. Justeru, seluruh warga Pulau Pinang boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan. PPN Pulau Pinang telah mula beroperasi pada 15 Disember lepas. Selain itu, PTPTN juga mempunyai tiga (3) Pejabat PTPTN Cawangan (PPC) di Pulau Pinang iaitu PPC Bayan Baru, PPC UTC Pulau Pinang dan PPC Bukit Mertajam.” tambah Apli.
Dalam pada itu, PTPTN juga telah menyalurkan pinjaman berjumlah RM68.22 bilion kepada 3.77 juta pelajar di seluruh negara sehingga November lalu.
"Selain itu, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM13.38 bilion dengan bilangan akaun berjumlah 5.68 juta sehingga 30 November 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Karnival PTPTN Sempoi Baq Hang dan Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, di Lobi Elevate Gravitas di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf Sdn Bhd, Farah Hussamuddin dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Sementara itu, Farah berkata, kehadiran Sinar Harian bukan sekadar media rasmi dan rakan strategik, namun menyokong penuh kempen yang dijayakan sempena ulang tahun ke-25 tahun ini.
Menurutnya, pengunjung karnival turut diberi peluang menyertai aktiviti Sinar Rovers yang menawarkan hadiah menarik daripada Sinar Harian.
"Saya mengambil peluang ini mengucapkan terima kasih kepada PTPTN yang terus memilih dan mengekalkan hubungan baik dalam menjayakan karnival kali ini serta mengharapkan gandingan ini akan terus berkekalan demi memartabatkan pendidikan generasi akan datang,” katanya.
INFO
Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang di Seberang Jaya telah berpindah ke Elevate Gravitas di Permatang Pauh sejak 15 Disember lalu.
Selain ini, PTPTN Pulau Pinang telah mempunyai tiga cawangan atau PPC iaitu PPC Bayan Baru, PPC UTC Pulau Pinang dan PPC Bukit Mertajam.
REAKSI
"Baca Sinar Harian dan ikuti Peraduan Syoknya 25 Tahun PTPTN, isi penyertaan, datang karnival dan hantar, tak sangka pula boleh menang. Program ini sangat bagus kerana boleh tambah pengetahuan.” - Nor Widayanti Abd Ghani, 47. Pemenang Peraduan Syoknya 25 Tahun PTPTN (Kategori Akhbar).
"Banyak aktiviti menarik seperti pertandingan dan hadiah. Anak-anak dapat isi masa cuti sekolah. Saya juga ambil peluang membuka akaun simpanan Simpan SSPN anak sebagai persediaan untuk mereka.” - Muna Ayunni Abd Halim, 34. Pengunjung.
"Dua anak saya telah mempunyai akaun Simpan SSPN Prime kerana saya sedari simpanan pendidikan sangat penting. Ia bukan sematamata menyimpan tetapi turut menerima dividen dan manfaat lain.” - Lee Siau Poh, 48. Pemenang Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN kategori Siri Silver 2.
"Saya menyedari kepentingan akaun Simpan SSPN Prime kerana mahukan pendidikan anak-anak terjamin, lebih lama menyimpan, lebih banyak dividen diperolehi.” -Y Nadarajan, 60. Pemenang Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN kategori Siri Silver 2.
"Saya jadikan simpanan pendidikan sebagai persediaan jangka panjang empat anak melihat kepada survival ekonomi sekarang. Mungkin dalam tempoh 10 tahun akan datang, simpanan ini beri hasil yang baik.” - Mohd Shahfarin Wahaiyan, 37. Pemenang Utama Cabutan Sempoi Baq Hang.