KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Perpaduan Malaysia akan membentangkan semula Bajet 2023 yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat dan memperkukuh prestasi ekonomi pada Februari depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bajet itu akan dibentangkan sendiri olehnya nanti.
"Seiring dalam usaha menangani cabaran kos sara hidup yang kian meningkat, kerajaan akan mengambil pendekatan yang lebih bersasar bagi melindungi rakyat susah serta pengusaha kecil dengan mengurangkan ketirisan subsidi kepada golongan maha kaya dan syarikat gergasi yang meraih keuntungan yang banyak.
"Sistem perlindungan sosial juga akan diperkukuh bagi melindungi golongan rentan dan mudah terjejas, termasuk golongan pekerja informal.
"Insya-ALLAH, inisiatif-inisiatif Bajet 2023 yang dibentangkan akan mencapai segala yang diharapkan rakyat dalam menyokong Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Tambah Anwar lagi, kerajaan juga akan menggalakkan pelaburan swasta bernilai tambah tinggi ke arah menjana peluang pekerjaan berkualiti selaras dengan usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
"Reformasi jentera pentadbiran awam juga diperlukan bagi meningkatkan integriti dan meningkatkan tata kelola demi mengoptimumkan sumber Kerajaan untuk manfaat rakyat,” katanya.
Pada 7 Oktober lalu, bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion.
Belanjawan itu merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.
Bagaimanapun bajet itu terpaksa dibentang semula susulan kerajaan yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).